Majikan di negara ini digalakkan mengambil mangsa pemerdagangan manusia sebagai pekerja di syarikat-syarikat tempatan.

Saranan itu dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melihat buat masa kini hanya Amerika Syarikat yang menawarkan pekerjaan kepada golongan itu.

Jelas beliau, langkah proaktif itu antara lain akan menjadi perlindungan kepada mangsa pemerdagangan manusia.

"Setakat ini, kita bekerjasama dengan dua buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya TENAGANITA.

"Kerajaan memberi peruntukan kepada mereka, di samping menggalakkan NGO lain untuk turut bersama-sama bagi memberi perlindungan kepada mereka.

"Kita letakkan beberapa kemudahan termasuk memberi pekerjaan kepada mereka (mangsa pemerdagangan orang). Beberapa syarikat Amerika Syarikat tawar pekerjaan," katanya pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga menteri Dalam Negeri menjawab pertanyaan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang bertanya apakah faktor yang membantu peningkatan kedudukan Malaysia dalam Laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS) mengenai Pemerdagangan Orang Tahun 2017 (US TIP Report) dan tindakan Malaysia dalam mengekalkan momentum pencapaian laporan itu.