Sebuah syarikat di ibu negara diserbu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selepas menawarkan pelaburan pokok kurma dengan harga RM3,000 hingga RM5,000 setiap pokok.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kawal Selia dan Penguatkuasaan) SSM, Nor Azimah Abdul Aziz berkata pihaknya menerima aduan daripada pengguna yang ditawarkan skim tersebut pada Disember tahun lalu.

Susulan risikan Bahagian Siasatan SSM selama tiga bulan dipercayai skim pelaburan yang ditawarkan syarikat berkenaan tidak berdaftar dengan SSM.

Operasi yang dilakukan Bahagian Siasatan SMM melibatkan 10 pegawai dan dua pegawai polis. - Foto ASTRO AWANI
"Dalam kes ini, syarikat tersebut dikatakan menanam dan menjanjikan kepada orang ramai untuk membayar pulangan kepada pelabur dengan hasil keuntungan jualan kurma bergantung kepada jumlah pokok yang dilaburkan.

"Apa yang mereka sepatutnya lakukan adalah mendaftarkan skim pelaburan tersebut kalau ia melibatkan skim kepentingan termasuk mematuhi semua keperluan pendaftaran bagi skim kepentingan yang sah di sisi undang-undang," katanya pada sidang media di bangunan SSM, di sini hari ini.

Sebelum itu, kira-kira 10 pegawai Bahagian Siasatan SSM bersama dua pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyerbu pejabat syarikat pelaburan haram tersebut dan mengambil beberapa dokumen berkaitan urusniaga yang dilakukan.

Tambah Azimah, hasil pemeriksaan SSM mendapati syarikat tersebut menawarkan peluang pelaburan skim penanaman pokok kurma di Kelantan, Terengganu dan Johor.

SSM
Syarikat tersebut dilkatakan menguruskan penanaman dan penjagaan pokok kurma hingga mendapatkan hasil selain akan membeli semula hasil tanaman pada harga RM12 hingga RM20 sekilogram berdasarkan kualiti dan saiz buah.

Justeru beliau menasihati orang awam untuk melakukan semakan dengan SSM bukan sahaja berkaitan pendaftaran entiti syarikat, malah skim yang ditawarkan.

Jika sabit kesalahan, pemilik syarikat boleh dikenakan kompaun RM50 juta atau 10 tahun penjara dibawah Akta Skim Kepentingan 2016.