Landasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) terpaksa ditutup lebih dua jam apabila tayar pesawat Malindo Air meletup ketika mendarat di lapangan terbang itu.

Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menerusi akaun rasmi Instagram memaklumkan, kejadian itu menyebabkan lima penerbangan Firefly dan tiga Malindo Air terpaksa dialihkan.


Ia apabila pesawat yang berlepas dari Langkawi itu tersadai di tengah landasan.

Kerja-kerja pengalihan pesawat hanya dapat diselesaikan pukul 6.30 petang tadi dan LTSAAS kembali beroperasi seperti biasa.


Kesemua 33 penumpang pesawat itu berjaya diselamatkan termasuk bagasi mereka.

MAHB menasihati para penumpang yang terjejas supaya menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini.