Daerah bongsu di Perak iaitu Bagan Datuk bakal memiliki mercu tanda baru dengan pembinaan Teedo Resort, berhadapan Sekolah Menengah Sains Bagan Datoh (SABDA), yang dijangka siap dalam masa dua tahun.

Pembinaan Teedo Resort di tengah-tengah pekan Bagan Datuk yang menelan belanja RM75 juta ini dimiliki oleh Yayasan Al Falah, dengan sasaran untuk memberi pulangan balik kepada penduduk Bagan Datuk.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kewujudan Teedo Resort ini penting bagi menampung kira-kira 10,000 pekerjaan baharu yang ada di sekitar Bagan Datuk.

Menurutnya pembinaan resort itu tidak menggunakan wang kerajaan sebaliknya pelaburan swasta yang bertujuan membantu menaikkan potensi daerah itu sebagai destinasi pelancongan utama.

“Ianya seratus peratus dibiayai oleh pihak swasta, premis komersil yang akan dibina selari dengan menjadikan Bagan Datuk destinasi pelancongan kerana kita ada produk pelancongan sedia ada.

“Jangan lupa ibu bapa yang datang ke Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, dan di MRSM akan datang perlukan penginapan termasuk Politeknik di sini,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian di Majlis Pecah Tanah Teedo Resort, di sini pada Ahad, hadir sama Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pengarah Urusan Nour Hotel and Resorts, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid.

Sementara itu, Nurul Hidayah menjelaskan pembinaan Teedo Resort di kawasan berkeluasan 60 hektar dengan anggaran kasar nilai pembangunan RM250 juta itu, bertepatan dengan masanya.

“Impian ini akan direalisasikan dalam masa dua tahun akan datang, resort ini juga yang pertama seumpamanya di Hilir Perak.

“Saya selaku pengendali dan pengurus mengambil ini sebagai satu amanah yang besar kerana ini bukan sahaja pulangan untuk Yayasan Al Falah malahan peluang perniagaan dan pekerjaan pada seluruh Bagan Datuk amnya.

“Saya terpanggil untuk memanggil semua anak Bagan Datuk di luar yang berkelayakan untuk balik ke sini dan berkhidmat di Bagan Datuk,” kata Nurul Hidayah.

Teedo Resort bakal dibina dengan beberapa ciri menarik seperti 250 bilik, tiga bilik seminar, chalet, kedai eksklusif, kolam renang dan dewan utama yang mampu memuatkan 500 orang.