Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu menamakan siapa Perdana Menteri yang dipilih secara konsensus oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan yang bermesyuarat hari ini.

Katanya, Konvensyen Pakatan Harapan yang bakal bersidang pada 7 Januari ini adalah sebagai persediaan serta pentas untuk anggota komponen dan pimpinan mengukuhkan kesatuan mereka.

“Pada konvensyen nanti, kami akan buat beberapa pengumuman berkaitan pelan masa depan Pakatan Harapan.

“Kami juga ada menjemput pemerhati luar dari kedutaan-kedutaan yang ada di Malaysia,” katanya.

Namun, seperti yang dijangkakan, beliau menolak untuk jawab mengenai calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.

“Kalau saya bagitau hari ini, apa guna Konvensyen Pakatan Harapan?

”Kat sana nanti kami akan beritahu,” seloroh bekas Perdana Menteri ke-4 itu.

Beliau pada masa sama mengakui semua parti komponen Pakatan Harapan berjumpa hampir setiap hari untuk menyusun strategi terbaik.

“Kami akan menghadapi pilihan raya sebagai Pakatan Harapan walau apa pun tindakan yang bakal dilakukan bagi menggagalkan kami.

“Kami ada pelan A, pelan B, pelan C, pelan D, pelan E, dan banyak perancangan lagi.

“Senarai calon pun semua parti dah sedia, cuma kita tak bagitau sekarang supaya mereka tak bertumbuk,” katanya lagi.

Buat pertama kalinya, konvensyen yang dijadual berlangsung Ahad ini bakal menampilkan semua empat parti komponen di atas satu pentas.

Dijangkakan 1,200 perwakilan akan hadir di Dewan Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam.