Malaysia bakal menyaksikan aplikasi teknologi nuklear dalam industri automotif menerusi kerjasama penyelidikan antara Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Proton Holdings Berhad (Proton).

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Datuk Dr Muhamad Lebai Juri berkata keadaan liberalisasi perdagangan masa kini mendesak penghasilan produk tempatan yang inovatif dan setanding dengan produk import.

Justeru beliau berkata, Nuklear Malaysia mahu memainkan peranan bagi membantu Proton untuk menjadi lebih kompetitif dengan penggunaan produk tempatan.

"Sistem ini boleh dijadikan sebagai satu alat pemasaran bagi menjana kejayaan. Kebergantungan negara terhadap barang import dapat dikurangkan sekali gus mengurangkan aliran wang keluar.

"Jadi dalam fasa program kerjasama ini, ia meliputi tiga komponen penyelidikan iaitu Development of Advanced EB Crosslinked HF/FR cable for automotive, Development of Advanced Aluminum/Aloy as Alternative Conductor for Automotive dan Establishment of Proton Industrial Standard and Malaysian Standard for Automotive Cables.

"Program penyelidikan ini adalah selaras dengan aspirasi dan penekanan kerajaan untuk meletakkan konsep inovasi dan pengutamaan produk tempatan sebagai agenda untuk memampankan ekonomi negara dengan produk tempatan yang berkualiti dan berteknologi tinggi."

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Proton Iriz kepada Agensi Nuklear Malaysia di bawah skop Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Proton-Nuklear Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir sama adalah Ketua Pegawai Teknikal Kumpulan Kejuruteraan, Proton Holdings Berhad Abdul Rashid Musa, dan Pengarah Urusan Wondeful Ebeam Cable Sdn Bhd, Chan Chang Choi.

Rashid pada sidang media berkata kepakaran daripada Nuklear Malaysia amat diperlukan terutama dalam meningkatkan mutu dan kualiti aspek keselamatan keluaran Proton.

"Contohnya kabel insulator yang menggunakan teknologi Nuklear Malaysia ini mempunyai ketahanan yang berbeza, yang lebih kuat. Jadi disebabkan itu kita mahu menggunakan teknologi yang ada pada Agensi Nuklear Malaysia ini dalam kereta-kereta Proton."

Majlis yang diadakan pada Isnin itu turut menyaksikan penyerahan kereta proton kepada Agensi Nuklear Malaysia sempena skop Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Proton-Nuklear Malaysia.