Sebuah bot laju menggunakan empat ganding enjin sangkut yang dinaiki empat penjenayah menyerang sebuah bot tunda di perairan Pegasus Reef, Kinabatangan kira-kira jam 6.30 petang Rabu.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki, pekerja bot tunda berusia 40 tahun cedera di kaki kiri dipercayai terkena tembakan.

Difahamkan, bot tunda bersama 13 kru sedang dalam perjalanan dari Sarawak menuju ke Papua New Guinea.

Namun, sebaik tiba di perairan itu, sebuah bot laju dengan empat ganding enjin tiba-tiba muncul lalu melepaskan tembakan ke arah bot tunda sehingga mengenai salah seorang kru.

Sejurus itu, semua kru bot bertindak masuk ke bahagian dalam bot tunda dan empat lelaki bertopeng kemudiannya naik ke bot tunda terbabit.

Seorang kru bot kemudiannya melepaskan tembakan dengan 'alat tertentu' ke arah semua suspek menyebabkan empat penjenayah berkenaan lari lintang-pukang sehingga ada yang terjun ke laut lalu melarikan diri.

Pasukan keselamatan kemudian tiba selepas itu dan membawa mangsa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah mengesahkan kejadian berkenaan dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.