Cubaan seorang tekong bot nelayan Vietnam merasuah pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) membawa padah apabila ditahan kerana menceroboh perairan Terengganu, semalam.

Ketua Zon Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim, Mohamad Rezal Kamal Bashah berkata salah seorang tekong daripada dua bot nelayan Vietnam yang diperiksa cuba menyogok anggota penguat kuasa APMM sebanyak RM8,000 bagi melepaskan diri daripada ditahan.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, katanya, dua bot nelayan itu bersama 20 awak-awak ditahan kerana menangkap ikan secara haram di dua kawasan berdekatan iaitu pada kedudukan 60 dan 62 batu nautika dengan menggunakan nombor pendaftaran tempatan PAF 5103 dan JF 8856T.

"Tekong yang memberi suapan itu diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) untuk tindakan susulan," katanya kepada pemberita di Pangkalan Maritim Kemaman di sini pada Ahad.

Hasil siasatan mendapati sebahagian daripada tekong dan awak-awak berusia antara 17 hingga 47 tahun memiliki dokumen pengenalan diri yang meragukan dan sebahagian lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri, katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya merampas 1.5 tan pelbagai jenis ikan, 500 kilogram ikan baja dan 1.6 tan sotong kering dirampas dan nilai rampasan termasuk dua bot berkenaan dianggarkan berjumlah RM2 juta.

Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta SPRM 2009.

Beliau berkata dua bot berkenaan serta awak-awak telah dibawa ke jeti Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA