SAMBUNGAN DARIPADA BAHAGIAN 1


Tuan Yang Dipertua,

Langkah Tiga: Sememangnya, negara mana yang tidak mahu kualiti perkhidmatan kesihatan terbaik dan bertaraf dunia. Inilah yang sentiasa diperjuangkan oleh Kerajaan Barisan Nasional sejak dahulu, kini dan selamanya. Antara projek yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama: Membina 5 hospital baru di Pasir Gudang, Kemaman, Pendang, Maran dan di Cyberjaya;

Kedua: Memulakan operasi Hospital Wanita dan Kanak-kanak Kuala Lumpur, yang bernilai 848 juta ringgit pada Oktober 2016;

Ketiga: Projek Pembangunan Semula Hospital Kajang;

Keempat: 260 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf klinik desa, klinik kesihatan dan klinik pergigian, berserta kuarters di seluruh negara;

Kelima: 52 juta ringgit bagi operasi 328 klinik 1Malaysia sedia ada, dan pembukaan 33 klinik 1Malaysia baharu;

Keenam: 72 juta ringgit untuk bantuan perubatan, termasuk hemodialisis, yang memanfaatkan hampir 10 ribu pesakit kurang berkemampuan; dan

Ketujuh: 4.6 bilion ringgit untuk bekalan ubat, consumables, vaksin dan reagents kepada semua hospital dan klinik Kerajaan.

Bermula 1 Januari 2016 juga, Kerajaan akan mengenakan caj penuh rawatan kepada pesakit bukan warganegara Malaysia.


Tuan Yang Dipertua,

Langkah Empat: Kerajaan akan terus memperkukuh sistem jaringan perlindungan sosial dengan peruntukan hampir 2 bilion ringgit kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk membantu golongan OKU, warga emas dan keluarga miskin. Untuk tujuan ini, antara program yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama: 445 juta ringgit bagi meneruskan pemberian 350 ringgit sebulan kepada OKU bekerja dan 200 ringgit sebulan kepada OKU yang tidak bekerja serta untuk penjagaan OKU terlantar sebanyak 300 ringgit sebulan. Kesemuanya ini, akan memanfaatkan hampir 150 ribu OKU;

Kedua: 100 juta ringgit disediakan termasuk untuk menambah 20 lagi buah Pusat Pemulihan Dalam Komuniti; dan

Ketiga: Bantuan 662 juta ringgit untuk anak daripada keluarga miskin berjumlah 100 hingga 450 ringgit sebulan, serta warga emas miskin sebanyak 300 ringgit sebulan.


Tuan Yang Dipertua,

Dalam setahun yang lepas, negara telah dilanda dua bencana yang besar, iaitu banjir besar pada penghujung 2014, dan gempa bumi di Ranau, Sabah. Musibah dan tragedi ini, jika tidak diambil langkah yang proaktif, boleh menyebabkan kerugian berbilion ringgit dan lebih penting lagi, kehilangan nyawa dan anggota.

Maka, bagi memperkukuh pengurusan bencana alam, 180 juta ringgit disediakan termasuk untuk penubuhan Agensi Pengurusan Bencana Negara di bawah JPM.

Seterusnya, 730 juta ringgit diperuntukkan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara. Manakala, 60 juta ringgit untuk Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara serta membangunkan Sub-Pusat Gempa Bumi dan Tsunami Nasional di Sabah.


Tuan Yang Dipertua,

Ahli-Ahli Dewan yang mulia serta Rakyat Malaysia Sekalian,

Jelasnya, apa yang pentadbiran Kerajaan sedia ada selama ini, sedang lakukan dan laksanakan, dengan sehabis baik ini, Sebetulnya, merupakan tali-temali, sambung menyambung dasar serta perancangan pimpinan negara, sejak dekad-berdekad.

Lantas, ingin saya ulangi, Bajet ini, satu antara langkah dalam rantaian langkah-langkah besar terakhir, yang hanya tinggal sedikit masa lagi sebelum mentari sebagai negara maju, menzahirkan cahayanya.

Pucuk pangkalnya, sebagaimana baik pun perancangan yang dibuat, sedemikian apapun rencana yang disusun, hukum hakam dan resmi bernegara, seperti tercatat dalam tawarikh kehidupan, membuktikan bahawa, hatta sebuah tamadun pun akan gagal jikamana kerukunan, kestabilan dan kebersatuan negara tidak diperkekalkan.


Tuan Yang Dipertua,

Oleh sebab itulah, tatkala membicarakan tentang ketenteraman tanahair, tiada kalimah sebagai ibarat, tiada kata sebagai umpama, yang dapat menunjukkan betapa kita berterima kasih dan menghargai jasa serta pengorbanan anggota keselamatan, mahupun para perajurit dalam menjamin keamanan pertiwi.

Oleh yang demikian, Kerajaan komited untuk melaksanakan pelan pembangunan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia atau ATM secara berperingkat.

Sehubungan itu, sebanyak 17.3 bilion ringgit disediakan untuk Kementerian Pertahanan. Antaranya, bagi perolehan 6 buah Littoral Combatant Ship, sistem persenjataan Very Short Range Air Defence, kereta berperisai dan pesawat Airbus A-400M.

Tambahan lagi, ATM akan diperlengkapkan dengan teknologi terkini, termasuk penggunaan Unmanned Airborne System untuk meningkatkan keupayaan Intelligence, Surveillance and Reconnaissance.

Sejumlah 523 juta ringgit pula, diperuntukkan untuk pembangunan kem tentera darat ESSCOM di FELDA Sahabat, Lahad Datu, Sabah.

Seterusnya, bagi mengenang jasa dan khidmat bakti wira-wira kita, sebanyak, 160 juta ringgit diperuntuk bagi membina 4 ribu unit lagi kuarters anggota Angkatan Tentera Malaysia.

Tidak cukup sekadar itu, Lembaga Tabung Angkatan Tentera, sedang merancang untuk membina tambahan 2 ribu unit lagi rumah mampu milik, kepada anggotanya bermula tahun hadapan.

Di samping itu, Kerajaan bersetuju supaya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, diperuntukkan sejumlah 864 juta ringgit, bertujuan antaranya, perolehan Offshore Patrol Vessel dan kapal peronda.

Manakala, bagi mempertingkatkan keselamatan dan ketenteraman awam dalam negeri, untuk terus mengurangkan kadar jenayah, sejumlah 13.1 bilion ringgit disediakan. Inisiatif-inisiatif berikut akan dilaksanakan:

Pertama: 155 juta ringgit untuk pembinaan 2 buah Ibu Pejabat Polis Daerah atau IPD baharu, iaitu di Lawas, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah, serta 10 buah IPD dan 5 buah balai polis yang masih dalam pembinaan;

Kedua: Merancang untuk membina 2 ribu unit lagi rumah mampu milik bagi anggota Polis Diraja Malaysia atau PDRM, antaranya di Rawang dan kawasan-kawasan yang sedang dikenalpasti;

Ketiga: 36 juta ringgit untuk membina pejabat, kuarters dan menaiktaraf depoh tahanan imigresen;

Keempat: 50 juta ringgit bagi mempertingkatkan langkah keselamatan penjara; dan

Kelima: 20 juta ringgit untuk Program Bandar Selamat di 60 kawasan hitam, antaranya melalui pengasingan laluan pejalan kaki dan pencahayaan di kawasan tersebut.

Sukacita saya mengumumkan, penambahan 500 unit Rondaan Bermotosikal PDRM lagi, dan 500 unit lagi kereta peronda, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 35 juta ringgit.


Tuan Yang Dipertua,

Bagi menguatkan lagi usaha integriti dan mengurangkan ketirisan serta rasuah, SPRM akan terus dimantapkan dengan program-program serta latihan yang relevan. Dengan ini, bilangan pegawai SPRM akan turut ditambah mengikut keperluan.

Merujuk kepada falsafah Rancangan Malaysia Kesebelas lagi, Tuan Yang Dipertua, sepertimana yang telah saya nyatakan di awal ucapan tadi, tentang rupawajah dan warna-warna kemajuan negara serta sahsiah rakyat yang kita dambakan, ketikamana memasuki gelanggang negara maju kelak, dalam apa jua yang direncanakan, seperti dokumen Bajet ini,… perihal kebajikan dan kepentingan rakyat, menjadi keutamaan.

Sepertimana ramai makrufi, Malaysia kontemporari ini, sudah pun dikenali sebagai sebuah negara Islam yang progresif lagi dinamik, sehingga disegani di seantero dunia. Sejak tahun-tahun kebelakangan, Kerajaan sedang menuju maksud dalam usaha menepati kerangka Maqasid Syariah dan pengertian wasatiyyah.

Walau apapun, untuk memenuhi tuntutan maqasid syariah, bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi, berkait ciri kemajmukan rakyat di negara ini.

Sememangnya pun, tanpa disedari, sejak meraih kemerdekaan, kita telah mengamalkan objektif tersebut dengan prinsip kesederhanaan yang begitu tersendiri.

Berdiri di atas asas ini, kita telah berjaya membina sebuah negara yang makmur, aman dan sentosa.

Di sudut ini, tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa tunjang dan tonggak kepada urusan pentadbiran negara adalah para kakitangan awam.

Oleh itu, marilah kita mengucapkan syabas dan tahniah kepada lebih 1.6 juta mereka yang berjasa ini.

Pucuk dicita ulam pun mendatang, saat dinanti kini menjelang. Bagi Menghargai Perkhidmatan Awam, atas segala sumbangan dan khidmat bakti kepada negara, Kerajaan bersetuju:

Pertama : Memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred yang akan memanfaatkan 1.6 juta warganya dengan peruntukan 1.1 bilion ringgit;

Kedua : Menambah baik sebanyak 252 skim perkhidmatan yang akan memanfaatkan 406 ribu penjawat awam;

Ketiga : Menetapkan gaji permulaan terendah dalam Perkhidmatan Awam kepada 1,200 ringgit sebulan yang akan memanfaatkan 60 ribu penjawat awam;

Keempat : Menetapkan kadar pencen minimum sebanyak 950 ringgit sebulan, yang akan melibatkan hampir 50 ribu pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan; dan

Kelima : Melantik secara tetap pegawai lantikan Contract of Service yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun. Ini akan memanfaatkan lebih 10 ribu pegawai kontrak.

Pelaksanaan kesemua langkah ini Tuan Yang Dipertua, akan berkuatkuasa pada 1 haribulan Julai 2016 dengan peruntukan sebanyak 1.4 bilion ringgit.


Tuan Yang Dipertua,

Bagi merealisasikan harapan, seperti yang dijanjikan, dalam ikhtiar meringankan kos sara hidup rakyat pula, Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M akan diteruskan.

Saya tahu benar, ada pihak yang mengatakan bahawa BR1M tidak perlu diteruskan. Namun, melalui maklum balas yang diterima, mereka sangat bersyukur dan berterima kasih di atas keprihatinan Kerajaan ini, kerana terbukti, Bantuan Rakyat 1Malaysia tersebut telah sedikit sebanyak membantu meringankan beban hidup mereka.

Sehubungan yang demikian,… selaras dengan Aku Janji Kerajaan Barisan Nasional juga, sukacita saya umumkan, jumlah BR1M untuk tahun 2016 akan dinaikkan seperti berikut:

Pertama: Satu kategori baru diperkenalkan bagi semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan di bawah 1,000 ringgit, akan menerima BR1M sebanyak 1,050 ringgit;

Kedua: Bagi isi rumah berpendapatan bulanan 3 ribu ringgit ke bawah, BR1M ditingkatkan daripada 950 ringgit kepada seribu ringgit;

Ketiga: Bagi isi rumah berpendapatan antara 3,001 hingga 4 ribu ringgit, pemberian BR1M ditingkatkan daripada 750 ringgit kepada 800 ringgit;

Keempat: Bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian sebanyak seribu ringgit akan diteruskan; dan

Kelima: Bagi kategori individu bujang pula, yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi 2 ribu ringgit sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada 350 ringgit kepada 400 ringgit.


Tuan Yang Dipertua,

Keseluruhannya, kesemua bantuan ini akan memanfaatkan sebanyak 4.7 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang, dengan peruntukan 5.9 bilion ringgit.


Tuan Yang Dipertua,

Jika, dalam RMK-11, saya telah menyebut tentang kelompok B40, dan tafsiran kumpulan yang terlibat, maka dalam Bajet ini, satu lagi kumpulan besar yang Kerajaan kini akan turut memberi tumpuan bergelar M40.

Secara statistiknya, tafsiran awal M40 adalah, kelompok isirumah yang berpendapatan antara 3,860 ringgit hingga 8,320 ringgit. Namun, definisi M40 ini, akan terus Kerajaan perincikan dari masa ke semasa.

Dalam hal ini, sukacita saya umumkan:

Pertama: Had pelepasan cukai bagi setiap anak berumur di bawah 18 tahun mulai taksiran 2016, digandakan daripada 1 ribu ringgit kepada 2 ribu ringgit;

Kedua: Pelepasan cukai bagi pembayar individu yang pasangannya tidak mempunyai pendapatan, dinaikkan daripada 3 ribu ringgit kepada 4 ribu ringgit;

Ketiga: Jika buat masa ini, pembayar cukai individu diberi pelepasan sehingga 5 ribu ringgit setahun bagi tujuan perubatan dan penjagaan terhad hanya kepada ibubapa mereka yang sakit.

Dalam Bajet ini, Kerajaan memandang positif sikap anak yang mengambil berat terhadap kebajikan ibubapa mereka dan mengalu-alukan pengukuhan institusi kekeluargaan.

Sehubungan itu, buat julung kalinya, anak-anak yang menyara ibubapa mereka, meskipun tidak tinggal bersama, akan diberi pelepasan cukai terkumpul sebanyak 1,500 ringgit untuk ibu, dan 1,500 ringgit lagi untuk bapa.

Tapi, dengan syaratnya, ibu dan bapa masing-masing tidak berpendapatan melebihi 2 ribu ringgit sebulan dan berumur 60 tahun ke atas; dan

Keempat: Sempena Bajet ini juga, Kerajaan memutuskan, untuk menaikkan had pelepasan cukai daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, bagi setiap anak berumur 18 tahun dan ke atas, yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian dalam dan luar negara, mulai tahun taksiran 2016; dan

Kelima: Bagi ibubapa kepada anak-anak Orang Kurang Upaya-nya, yang sedang melanjutkan pengajian di institusi dalam dan luar negara, had pelepasan cukai dinaikkan daripada 6 ribu ringgit kepada 8 ribu ringgit, mulai tahun taksiran 2016.

Ingin saya tambah di sini, had pelepasan cukai sedia ada bagi ibubapa yang mempunyai anak OKU adalah 6 ribu ringgit. Ini bermakna, sekiranya anak OKU ini melanjutkan pelajaran di dalam atau luar negara, jumlah pelepasan cukai yang boleh dituntut secara keseluruhannya, adalah sebanyak 14 ribu ringgit.


Tuan Yang Dipertua,

Seterusnya, untuk membolehkan lebih ramai pekerja mendapat manfaat di bawah PERKESO, kelayakan caruman wajib dinaikkan daripada gaji 3 ribu ringgit kepada 4 ribu ringgit sebulan. Pengubahsuaian ini, memanfaatkan kepada 500 ribu pekerja, di mana jika si pencarum meninggal dunia dalam tempoh kerja, waris akan menerima bayaran bulanan sehingga 90 peratus pendapatan bulanan terakhir beliau.


Tuan Yang Dipertua,

Secara kesimpulannya, selama puluhan tahun, Kerajaan Barisan Nasional telah memikul mandat dan menggalas kepercayaan rakyat. Kerajaan ini juga telah secara berterusan melunaskan serta melangsaikan janji-janji yang dilafaz dan dicatat. Ini bererti, Kerajaan yang mentadbir sekian waktu ini jua, terserlah mempunyai visi dan halatuju yang jelas.

Apa yang mustahak, untuk dinyata dan dipertegaskan sekali lagi, kita terus mendapat pengiktirafan-pengiktirafan daripada pengabsah-pengabsah berwibawa tinggi di dunia, antaranya agensi-agensi kewangan antarabangsa seperti Fitch Ratings, Moody’s dan Standard & Poor’s, yang telah memberi gambaran sebenar, tentang keadaan serta pengurusan ekonomi Malaysia.

Malah, pelbagai pencapaian telah kita raih, antaranya yang terkini, kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Global 2015-2016 oleh World Economic Forum, melonjak dua anak tangga kepada kedudukan 18 daripada 140 negara utama ekonomi di dunia.

Kepada rakyat sekalian, usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah. Jelas sekali, dengan rekod pencapaian yang cemerlang, antaranya yang telah saya tuturkan di awal ucapan tadi, maka letakkanlah keyakinan, taruhlah harapan, bahawa, inilah Kerajaan yang boleh dibergantung harap, demi masa depan hari muka, anak cucu dan keturunan kita.

Dalam apa jua keadaan, saya dan rakan-rakan akan meneruskan perancangan ekonomi negara, dengan mengutamakan serta mendahulukan kesejahteraan rakyat.


Tuan Yang Dipertua,

Pokoknya, bagi Kerajaan ini, rakyat adalah segala-galanya. Khabar bahagia sudahpun tiba. Maka, ingin saya umumkan, berkuatkuasa 1 Julai 2016, gaji minimum negara dinaikkan daripada 900 ringgit kepada 1,000 ringgit sebulan bagi Semenanjung, dan daripada 800 ringgit kepada 920 ringgit sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. Gaji minimum ini melibatkan semua sektor, kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.


Tuan Yang Dipertua,

Tidak cukup sekadar itu, bagi meringankan beban kos sara hidup kepada semua penjawat awam, Kerajaan bersetuju dengan pemberian khas sebanyak 500 ringgit kepada semua penjawat awam.

Manakala, bagi 700 ribu pesara Kerajaan pula, bayaran khas 250 ringgit disediakan. Kedua-dua bayaran ini, yang berjumlah hampir 1 bilion ringgit akan dibuat pada bulan Januari 2016.


Tuan Yang Dipertua,

Demikianlah, Kerajaan ini tanpa jemu-jemu dan putus-putus ingin membuat kebaikan dan kebajikan kepada sekalian rakyat. Sejak dulu, kesemuanya tidak terbina dengan mudah atau dalam sekelip mata. Ia menuntut kesungguhan dan pengorbanan atas nama kebaktian pada nusa dan bangsa.

Lalunya, berbicara tentang betapa susah dan jerih payahnya membina Malaysia tercinta ini, kita berasa kesal, bahkan sebenarnya, kita amat-amat kesal, dengan tindak-tanduk tidak bertanggungjawab oleh musuh dari dalam, mahupun luar, yang cuba mempalit dan merosakkan imej negara ini.

Pada kita, perbuatan segelintir pihak ini, akan hanya memporak-perandakan, sampai boleh memusnahkan apa yang terbina selama ini.

Waima, wujud sesetengah orang, yang kita sendiri kadang-kadang tidak tersangka-sangka, atau terduga-duga, ibarat api di dalam sekam, menjadi gunting dalam lipatan.


Tuan Yang Dipertua serta Rakyat Malaysia Yang Dikasihi sekalian,

Dalam menghela nafas keinsafan, saya perakui, benarlah saya ini seorang pemimpin, tetapi saya juga manusia biasa seperti saudara saudari sekalian. Kita sama-sama ada kelebihan dan kelemahan di sana sini.

Sayugia, sambil merujuk-rujuk mafhum tafsir daripada surah Yusuf, bahawa, Tuhan tidak menyuruh kita berhenti dari berusaha, Tuhan juga tidak benarkan kita sesekali berputus asa dari rahmatNya, dan apatah lagi sesungguhnya, Tuhan juga tetap menjanjikan kepada hamba-hambanya yang berislah dan beriltizam, bahawa, kejayaan pasti menjelma jua.

Sebab itu, Tuan yang Dipertua, sudah menjadi adat orang berjuang, pasti akan menempuh rintangan dan dugaan. Namun, biar pun berjuta gugatan menghalang, biar menggunung ombak mendatang, kita, kita tidak akan sesekali berputus harapan.

Kini, Tuan Yang Dipertua, saya, bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, berserta anggota pentadbiran dan pimpinan-pimpinan Barisan Nasional, sehati sejiwa, akan tetap tabah dan bertawakal meneruskan perjuangan yang mulia ini.

Nescaya, dengan dipersaksikan masa dan dineraca oleh waktu, yang benar tetap benar, sejarahnya kelak menjadi bukti.

Akhir kalam, bak kata para hukama’, yang indah-indah itu dari Ilahi dan yang kurang itu sifat insani. Marilah kita berdoa kepada Maha Pencipta, agar tiap sesuatu akan kembali pulih seperti sediakala. Semoga Bajet ini dilimpah-limpah Rahmat-Nya dan membawa sentosa kepada semua.


Tuan Yang Dipertua,

Saya mohon mencadangkan.

Wabillahi Taufik Wal Hidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.