Tekun Nasional akan melancarkan pembiayaan Tekun Mobilepreneur 2.0 yang menyediakan pembiayaan maksimum sehingga RM10,000 kepada rider penghantaran untuk pembelian motosikal baharu dan modal pusingan.

Dalam kenyataan pada Rabu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pemohon perlu berdaftar dengan syarikat e-hailing dan melepasi syarat-syarat yang ditetapkan.

Program itu yang akan dilancarkan pada 7 Julai adalah antara usaha kerajaan dengan menggunakan dana Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

"Peruntukan awal sebanyak RM1 juta telah disediakan kepada 100 pemohon awal dan tambahan RM4 juta peruntukan kepada 400 pemohon lagi akan dimaklumkan kemudian.

"Program ini diharap membantu rider untuk meneruskan perkhidmatan mereka dan melonjakkan semula ekonomi negara ketika kita masih berdepan ancaman pandemik COVID-19," kata Wan Junaidi.

Tekun Nasional ialah agensi di bawah kementerian yang menyediakan kemudahan kewangan kepada bumiputera untuk memulakan dan mengembangkan perniagaan mereka.

Program pembiayaan Tekun Mobilepreneur 1.0 yang diperkenalkan pada April, menawarkan pembiayaan khas sehingga RM2,000 untuk membantu rider penghantaran tempatan membaiki motosikal dan menyediakan modal pusingan. Skim itu yang diperuntukkan kepada 500 rider penghantaran telah berakhir semalam.

Lebih 211 permohonan telah diluluskan sehingga semalam bernilai RM394,000.

Tawaran itu terbuka kepada semua rider berdaftar melalui syarikat e-hailing seperti Grab, Foodpanda, Bungkusit, Lalamove, MyMakan, Zeptoekpress dan Mrspeedy.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web Tekun Nasional di www.tekun.gov.my.

-- BERNAMA