Tempoh menunggu untuk menunaikan ibadah haji berkurangan kepada 13 tahun iaitu sehingga 89 tahun selepas penambahan 2,300 kuota haji kepada rakyat negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata tempoh menunggu itu memberi impak kepada 2.5 juta pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) yang mendaftar untuk menunaikan haji.

"Lawatan Raja Salman Abdulaziz Al Saud ke Malaysia baru-baru ini membawa berita gembira kepada jemaah haji yang terpaksa menunggu lama untuk menunaikan ibadat haji.

"Dengan penambahan kuota haji, tempoh menunggu dikurangkan 13 tahun dan kita bersyukur dengan perkembangan ini," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kini kuota haji Malaysia bertambah kepada 30,200 berbanding 27,900 orang pada Januari lalu.

Sejak 2013, kuota haji Malaysia kekal pada 22,300 susulan projek menaik taraf di Mekkah.

Terdahulu menjawab soalan Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Kuala Krai), Jamil Khir menyifatkan kadar hibah Tabung Haji bagi tahun kewangan 2016 yang diumumkan bulan lalu sebanyak 4.25 peratus kepada 9.1 juta pendepositnya adalah kompetitif berbanding simpanan di institusi perbankan Islam lain.

Jamil Khir berkata, simpanan di Tabung Haji dijamin oleh kerajaan dan pemberian hibah sudah mengambil kira 2.5 peratus bayaran zakat tahun 2016 iaitu sebanyak RM60.3 juta.

Beliau berkata, prestasi Tabung Haji kekal positif walaupun berdepan persekitaran ekonomi dunia yang tidak menentu bagi tahun 2016 dan dijangka berterusan tahun ini.