Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau sedia memberikan keterangan kepada polis berhubung kenyataannya mengenai kerajaan Pulau Pinang meminggirkan kaum Melayu baru-baru ini.

Tengku Adnan berkata beliau telah menerima panggilan daripada polis selepas Anggota Parlimen Segambut Lim Lip Eng hari ini membuat laporan polis meminta beliau menjelaskan kenyataan itu yang dianggap tidak berasas dan serius.

"Polis akan datang kepada saya atau saya akan datang jumpa mereka untuk beri kenyataan. Tiada masalah, " katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran kementeriannya di sini.

BACA: Pulau Pinang tolak idea dijadikan Wilayah Persekutuan

BACA: Umno negeri jumpa Ku Nan bincang cadangan P. Pinang jadi Wilayah Persekutuan


Tengku Adnan menyelar tindakan pembangkang yang katanya tidak membaca kenyataan beliau sepenuhnya dan mencetuskan salah faham kepada orang ramai.

"Saya kata semua bangsa dipinggirkan di Pulau Pinang. Tapi mereka (pembangkang) hanya memetik bangsa Melayu saja. Tolong baca kenyataan saya betul-betul.

"Lagi pun yang saya kata ialah saya ingin jadikan Pulau Pinang, Langkawi, Pulau Tioman dan Melaka (sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.) Saya tak kata yang saya akan ambil Pulau Pinang (sahaja).

"Kita di Wilayah Persekutuan boleh pastikan harga rumah berpatutan kepada rakyat dan boleh kurangkan kekangan hidup penduduk. Kata dikota. Mereka (pembangkang) cakap tak serupa bikin. Dia makan cili dia rasa pedas, " katanya.

Terdahulu, di rumah terbuka itu, Tengku Adnan mengagihkan sumbangan wang tunai kepada 2,500 golongan asnaf dan golongan memerlukan berjumlah RM75,000 menerusi dana Yayasan Wilayah Persekutuan.

-- BERNAMA