Usai tujuh hari berkelana di luar tanah Selangor, hari ini anakanda bongsu Sultan Selangor, Tengku Amir Shah berangkat kembali ke Istana Alam Shah di sini bagi menyempurnakan Istiadat Mengadap dan Menjunjung Duli sempena Pemasyhuran Gelaran Raja Muda Selangor.

Tengku Amir Shah memulakan istiadat dengan menjunjung duli dan mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin untuk mempersembahkan cenderamata.

Majlis diikuti ucapan tahniah oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mewakili seluruh rakyat Selangor kepada Tengku Amir Shah atas pemasyhuran gelaran tersebut.

"Ciri-ciri kepahlawanan ini sememangnya tradisi dan jati diri yang mengalir dalam darah terluhur yang membangun kerajaan, mencipta keteraturan dan sistem pemerintahan di seantero nusantara.

"Patik dan sekalian rakyat ingin menyembah taat setia ke atas Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dan memperbaharui ikrar mempertahankan Institusi Raja Berperlembagaan," katanya.

Mohamed Azmin turut diapit Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong Keat Ping mewakili kaum Cina dan V. Ganabatirau mewakili kaum India.

Turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Tengku Amir Shah ialah Tengku Indera Setia Selangor, Tengku Ahmad Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj yang mewakili waris dan kerabat Diraja, Ahli-ahli Dewan Diraja termasuk Orang-orang Besar Bergelar, Orang-orang Besar Istana dan Orang-orang Besar Daerah.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid membacakan doa sejurus istiadat pemasyhuran selesai.

Tengku Amir Shah dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor dalam majlis yang penuh adat isitiadat diraja di Balairung Seri, Istana Alam Shah minggu lalu.

Baginda yang diputerakan pada 12 Disember 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) merupakan hasil perkahwinan antara Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan Puan Nur Lisa Idris Abdullah, warganegara AS.

Tengku Amir Shah merupakan anakanda bongsu daripada tiga beradik.

Baginda mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan menengah di Alice Smith School, Kuala Lumpur sebelum melanjutkan pelajaran di Wellington College, United Kingdom (UK) dari 2004 hingga peringkat A-Level pada 2009.

Baginda kemudiannya melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah Sarjana Muda Ekologi dan Biologi Alam Sekitar di Leeds University, UK pada 2014.

Dari 23 September sehingga 5 Disember 2014, Tengku Amir Shah menjalani kursus persediaan ketenteraan yang rapi di Akademi Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Selepas itu, baginda meneruskan latihan ketenteraan Commissioning Course Intake 152 sebelum mendaftar diri di Akademi Ketenteraan Diraja Sandhurst, UK dari 3 Mei 2015 hingga 15 April lalu.

Rentetan daripada kejayaan tersebut, baginda ditauliahkan sebagai pegawai tentera berpangkat Leftenan Muda di Batalion Ke-17 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam satu upacara di Kem Terendak, Melaka pada 19 Julai lalu.

Tengku Amir Shah juga meminati pelbagai jenis sukan seperti golf serta bola sepak dan aktiviti lasak seperti meredah jeram dengan bot, menunggang kenderaan pelbagai bentuk muka bumi (ATV), berbasikal dan paintball.

Baginda seringkali menyertai pertandingan golf antaranya Jemputan Raja Muda Selangor yang dianjurkan di kelab-kelab golf terkemuka di negeri ini.

Sebagai putera raja yang berjiwa rakyat, Tengku Amir Shah tidak melupakan kewajipan memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

Baginda merupakan Penaung Diraja bagi beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai objektif membantu rakyat bagi meningkatkan taraf kehidupan.

Antara NGO yang dinaungi oleh baginda ialah Yayasan Raja Muda Selangor, Pertubuhan Kebajikan Selangor Cheshire Home, Make a Wish Malaysia dan Selangor Youth Community (SAY).

Baginda turut sama turun padang untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat miskin dan menyertai program-program kesedaran kesihatan kepada masyarakat tentang bahaya penyalahgunaan dadah dan wabak denggi.

Tengku Amir juga menghadiri majlis-majlis keagamaan yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor seperti majlis berbuka puasa dan perasmian masjid.