Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan rasa sedih dan dukacita di atas berita terbaharu yang tular mengenai penganiayaan secara kejam terhadap seekor kucing di Gombak, Selangor pada Selasa lepas.

Baginda yang juga Penaung Diraja Kempen 'Stray Free Selangor' (SFS) telah secara rasmi menghantar surat kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar meminta mereka mengenakan tindakan sewajarnya kepada pelaku yang terbukti bersalah, agar perbuatan seumpamanya tidak berulang lagi.

"Saya terkejut dan sedih dengan perbuatan menzalimi haiwan yang kian berleluasa. Sifat kemanusiaan seolah-olah telah hilang dalam diri pelaku sehingga sanggup menganiaya haiwan yang sedang sarat mengandung," titahnya dalam kenyataan menerusi laman Facebook rasmi Selangor Royal Office hari ini.

Titahnya, masyarakat harus peka kerana haiwan juga ada hak dan dilindungi di bawah undang-undang, dan tidak seharusnya berlaku penderaan dan penganiayaan sewenang-wenangnya terhadap haiwan khususnya haiwan peliharaan.

Kenyataan itu menyebut Seksyen 428 Kanun Keseksaan menyatakan bahawa mereka yang membunuh, meracun atau mencederakan binatang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda atau kedua-duanya.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof hari ini berkata dua daripada tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh seekor kucing dengan memasukkan haiwan itu ke dalam mesin pengering pakaian di sebuah kedai dobi ditahan di dua lokasi di Gombak awal pagi ini.

Katanya kedua-dua lelaki yang masing-masing berumur 26 dan 40 tahun itu ditahan hasil risikan dan maklumat awam dan direman empat hari bermula hari ini.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit 50 saat di sebuah kedai dobi Taman Gombak Ria, Selasa lepas yang tular, menunjukkan dua lelaki memasukkan seekor kucing bunting ke dalam mesin pengering pakaian pada kira-kira 12 tengah malam sebelum bangkai kucing itu ditemukan berlumuran darah di dalam mesin berkenaan.

Pihak polis bagaimanapun mengesahkan terdapat individu ketiga dalam CCTV itu.

-- BERNAMA