Tentang seorang jururawat bernama Hamidah, ibu saya

Tentang seorang jururawat bernama Hamidah, ibu saya
Hamidah tidak pernah mengimpikan kehidupan sebagai seorang jururawat, tetapi jalan itu dipilihnya demi menyara keluarga tercinta. - Astro AWANI/Israr Khalid
"KENAPA mak jadi nurse?"

"Sebenarnya mak tak nak pun jadi nurse. Mak dulu berangan nak jadi arkitek."

"Habis, apa jadi?"

Menjadi arkitek pada era 70-an bukanlah sesuatu yang mudah untuk anak perempuan pertama dari 10 orang adik-beradik ini.

Lahir dari keluarga yang disara oleh gaji menjaga sekolah pada waktu malam, menoreh getah di waktu pagi dan hasil jualan juadah di kantin kilang papan, cita-citanya besar untuk menjadikan minatnya terhadap seni sebagai kerjaya yang dapat memberikan kehidupan yang lebih baik buat ibu bapanya.

Tetapi kata-kata abang sulungnya yang sudah melanjutkan pelajaran ke Institut Teknologi Mara di Shah Alam, Selangor ketika itu membuka mata Hamidah Abdullah kepada realiti kehidupan dewasa di kota.

“Kalau Idah nak jadi arkitek, pakai duit banyak. Adik-adik ramai. Kesian mak dengan bak.

"Abang Esa ada baca pasal satu kerja ni Idah mula belajar pun dah dapat gaji. Boleh tolong keluarga kita. Idah jadi jururawat, Dah."

Maka bermulalah perjalanan seorang wanita kecil comel dari Kampung Kota Dalam dekat pekan Ayer Hitam, Johor ini di Sekolah Kejururawatan Hospital Universiti Malaya (UH) pada tahun 1972.

Ditempatkan ke Kelantan selepas tamat pengajian selama beberapa tahun, kemudian dia kembali ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat di Hospital Tawakkal sebelum berhijrah ke Hospital Pakar Ampang Puteri yang lebih dekat dengan rumah yang dibeli pada awal 90-an.

Setiap malam ketika orang bersiap untuk tidur, Hamidah bersiap untuk masuk kerja. - Astro AWANI/Israr Khalid
Tahun lepas, cukup umurnya 60 tahun. Selepas 24 tahun 'beronggeng' di koridor dan wad Ampang Puteri, akhirnya Hamidah perlu melabuhkan tirai khidmatnya untuk bersara.
Bagaimanapun, dia tidak pernah mengucapkan selamat tinggal. Memikirkan kesihatan suaminya yang semakin merosot serta kerisauan mendalam terhadap anak-anak walaupun semuanya sudah bekerja, dia kembali melangkah ke hospital tersebut selepas sebulan berehat dan mengikat kontrak selama setahun.

"Bestlah Sister Midah ada lagi, kalau tak sunyi hospital ni malam-malam!"

Nama Sister Hamidah cukup masyhur di serata wad di Ampang Puteri. Ke mana sahaja dia pergi, dia membawa senyuman kepada staf-staf lain yang bertugas bersamanya pada waktu kebanyakan orang sedang nyenyak tidur.

Dia diceritakan sangat tegas ketika bertugas, tetapi hemahnya sentiasa santun dan juga menghiburkan dalam memastikan anak-anak buahnya kekal fokus dalam kerjaya yang melibatkan hidup mati manusia ini.

Hari ini dia tidak bekerja. Day off. Jadi kami sekeluarga sedang dalam perjalanan untuk berbuka puasa bersama Tokmak yang tiba dari Ayer Hitam semalam di rumah Pak Uda di Shah Alam.

Selalunya di dalam kereta, selain daripada meleterkan kami tiga beradik, mak selalu bercerita tentang masa mudanya. Tentang kehidupannya di kampung, belajar di UH, pengalamannya di hospital dan kisahnya membesarkan kami.

"Masa Mak besarkan kalian bertiga dulu, Mak berhenti kerja. Tapi satu hari tu Bapak kena tipu kawan dia, habis lesap duit simpanan.

"Mak kenalah kerja balik, nak tolong Bapak. Itu yang Mak start kerja di Ampang Puteri, dekat dengan rumah, senang nak jaga kalian."

Sedia untuk beraksi malam ini, Sister Hamidah memeriksa keadaan di ruang utama Kemalangan & Kecemasan. - Astro AWANI/Israr Khalid
Cerita itu adalah antara lipatan episod sejarah panjang kehidupannya yang menjadi halwa telinga sepanjang perjalanan sehinggalah kami tiba ke destinasi.

Suratan atau kebetulan, sepupu saya melahirkan cahaya mata pertamanya awal pagi semalam. Memang waktu yang amat tepat untuk sebuah perjumpaan keluarga Dollah & Co.

Inilah masanya juga untuk Sister Hamidah menurunkan ilmunya dari pengalaman luas bertugas di wad bersalin selama lebih lima tahun.

Kepada anak saudaranya seorang doktor itu, ditunjukkan cara mendukung bayi, petua berpantang dan hal-hal lain berkaitan, termasuklah kenangannya bertugas semasa mengandungkan anak pertamanya.

"Mak Andak dulu tengah mengandungkan Cia berdiri tunggu bas mini, naik bas kadang-kadang berdiri sampai Tawakkal. Cik Khalid (suaminya) tengah outstation masa tu, tak ada orang nak hantar pergi kerja.

"Lepas itu, ada pula patient minta tolong rendahkan katil. Zaman dulu bukan macam zaman sekarang, tekan butang katil turun sendiri. Perut tengah mengandung tu cangkunglah nak memutar engkol di bawah hujung katil."

Pada usia pencen itu, keghairahannya masih sama seperti ketika mengenakan uniform berskirt paras lutut dengan rambut diikat kiri dan kanan mengapit cap putih di atas kepalanya, semasa zaman yang perlu beratur untuk menggunakan telefon awam.

Dia diajarkan oleh UH untuk sentiasa merasakan kerjaya sebagai seorang jururawat sebagai tanggungjawab besar kepada kemanusiaan yang harus digalas dengan sepenuh hati dan ikhlas. Bukan sekadar asal kerja untuk dapat gaji.

"Kalian kerja lah betul-betul, dah dapat kerja yang masing-masing minat. Mak ni kerja yang dulu Mak langsung tak tahu apa itu nursing, pun tak main-main.

"Tok Bak dulu selalu pesan, kerja biar tekun, ikhlas, setia. Sampai hari ini mak pegang kata-kata itu." Demikianlah antara pesan yang selalu dikongsikan.

Tok Mak tiba dari kampung untuk menyambut Ramadan dan Hari Ibu sekali gus bersama-sama. - Astro AWANI/Israr Khalid
Biarpun melayari perjalanan panjang di jalan yang tidak pernah diimpikannya, Hamidah sentiasa berbangga dengan profesion mulianya yang telah menyaksikan pelbagai sketsa manusia yang menerima kehidupan dan menangisi pemergian di depan matanya.

Ada juga terkadang dia meluah kesal bahawa tiada siapa yang melihat tinggi kerjaya jururawat. Selalu yang disanjung adalah doktor berjubah putih dengan stetoskop tersidai pada leher, tetapi tak siapa sedar bahawa tulang belakangnya adalah misi yang menjadi penyeri rumah sakit.

Namun apalah penghargaan dan pujian daripada manusia, hanyalah secebis kecil malah gurauan daripada sesuatu yang lebih besar ditentukan Yang Maha Esa untuknya.

"Nasib baik Sudirman ada lagu pasal nurse. Jamilah tajuk lagunya. Sebabnya Jamilah itu kakak dia, seorang nurse.

"Sudirman memang bestlah, tak ada artis sekarang boleh lawan dia," katanya yang sangat meminati seniman kebanggaan negara era 80-an itu.

Selepas pulang dari solat terawih dan kami 'mentong' bersama, kek yang dibeli adik pada sebelah petang dikeluarkan sebagai kemuncak sambutan pada malam Sabtu, malam ketujuh Ramadan itu.

Ahad menjadi hari yang sangat istimewa buatnya, kerana buat pertama kalinya disambut bersama oleh seluruh dunia Hari Ibu dan Hari Jururawat.

Hari yang meraikan dua profesion yang tidak jauh beza jiwanya, di sisi keluarga yang merupakan segala-galanya dalam hidupnya. 

Demikianlah tentang seorang jururawat bernama Hamidah.

Terima kasih Mak, kerana menjadi ibu dan jururawat yang terbaik untuk kami, selamanya.


[GALERI FOTO] Tentang seorang jururawat bernama Hamidah


Tag: jururawat, nurse, Hamidah, ibu, mak, hospital, rumah sakit, misi, Hari Jururawat, Hari Ibu


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.