NURANI Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin seperti juga individu lain sentiasa mudah tersentuh setiap kali mendasari jiwa mereka yang kekurangan.

Sepanjang lebih dua dasawarsa memahat nama sebagai orang ternama, penyanyi nombor satu negara ini sering mengingatkan dirinya bahawa di sebalik kemasyhuran yang dikecapi, masih ada sebilangan masyarakat yang ketandusan makna kasih sayang.

Lalu, bagi mengubati rasa kekurangan golongan sedemikian, Siti Nurhaliza mendekati mereka menerusi karya-karya seninya.

Melodi kasih sayang yang diterjemahkan dalam lagu-lagu, ujar penghibur kesayangan ramai ini, setidak-tidaknya menjadi penghubung beliau dengan anggota masyarakat.

Justeru, apabila single terbaharunya, Terang dipasarkan, peminat menyifatkan, karya itu sangat akrab dengan masyarakat.

Terang, dari perspektif penyanyi itu pula boleh dianggap karya yang menjadi motivasi untuk masyrakat bangkit dalam apa juga keadaan.

Terang adalah manifestasi yang menyentuh soal masyarakat hari ini, supaya kita bangkit dalam apa juga keadaan,” kata Siti Nurhaliza dalam wawancara dengan Astro AWANI.

Melodi Terang yang dihasilkan komposer Aubrey Suwito sementara liriknya tulisan Shah Samsiri turut diperkenalkan sebagai tema kempen SimplySiti Di Hati 2019.

“Bermula daripada album Fragmen lagi saya memang menitikberatkan lirik positif. Tidak hanya kisah latarnya, tetapi seni kata yang ditampilkan bersifat positif.

“Bagi saya, ia umpama sebuah tanggungjawab kerana melepasi usia dua dekad dalam industri muzik, saya harus menampilkan karya matang dari segala segi," kata penghibur berusia 40 tahun yang juga ibu kepada si cilik Siti Aafiyah Khalid.

Siti Nurhaliza sangat berbesar hati kerana karya terbaharunya, Terang disenangi ramai. - Gambar Koleksi Siti Nurhaliza

Ditanya mengenai reaksi peminat yang memberikan maklum balas positif berhubung lagu Terang, Siti Nurhaliza secara jujurnya sangat berbesar hati kerana karya terbaharunya itu disenangi ramai.

“Jujurnya, saya tak sangka lagu ini mendapat maklum balas cukup baik apabila saya membaca komen mengenainya. Ada yang mendapat inspirasi untuk terus bangkit setelah mendengarnya. Ia selari dengan matlamat saya untuk melihat karya dihasilkan memberikan manfaat kepada orang lain.

“Bagi saya, lagu ini karya yang mewakili kematangan diri sebagai anak seni, bagi memberikan sesuatu yang positif dan menerangi insan lain. Saya bukan sekadar penyanyi dan penghibur, tetapi turut menyumbangkan sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Saya berterima kasih kepada pencipta dan penulis liriknya. Karya berkenaan ibarat jendela kepada kemunculan album baharu saya, awal tahun depan,” kata Siti Nurhaliza lagi.

Terang tidak hanya ditampilkan sebagai single semata-mata, sebaliknya, pengurusan Siti Nurhaliza turut menerbitkan video muzik yang sarat dengan mesej kemasyarakatan.

Video muzik berkenaan diarahkan Nadiyah Zakariya yang turut menampilkan sekumpulan kanak-kanak yang melengkapi aspirasi Terang.