Tutup

Terap nilai 'RAHMAH' dalam ibadah haji - Khutbah Arafah

Terap nilai 'RAHMAH' dalam ibadah haji - Khutbah Arafah
Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya mengambil pengalaman daripada ibadat haji yang sarat dengan nilai 'RAHMAH'. -Gambar fail
MEKAH: Jemaah haji Malaysia dinasihatkan supaya mengambil pengalaman daripada ibadat haji yang sarat dengan nilai 'RAHMAH' iaitu interpretasi nilai ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat.

Timbalan Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir, yang juga Pakar Rujuk Lembaga Tabung Haji (TH) ketika menyampaikan khutbah Arafah bertajuk 'Dambaan Rahmah di Bumi Arafah' berkata ibadah haji telah mengajar kita bersifat ramah sesama manusia, alam dan juga haiwan.

Katanya jemaah haji akan dapat mengekalkan semangat, berkasih-sayang, sopan, santun, sabar dalam kehidupan harian, selain diterapkan dengan nilai aman, iaitu hidup dengan aman damai bersama semua bangsa tanpa membezakan warna kulit, agama, bangsa, pangkat dan kedudukan.
Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas Lembaga Tabung Haji.

Anhar berkata nilai harmoni dan mesra mengajar kita bergaul dengan semua bangsa tanpa batas sempadan, tanpa perasaan iri hati, tanpa berburuk sangka dan hasad dengki sesama manusia serta menjaga keperluan semua golongan masyarakat.

Beliau berkata ibadah haji ini juga dapat menanam nilai hormat menghormati antara satu sama lain terutama dalam kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang berbilang kaum.
Katanya gagasan Rahmatan Lil Alamin yang berteraskan Maqasid al-Syariah dan model Malaysia dilaksanakan sebagai satu gagasan baru kerajaan dalam mengurus tadbir negara, menuju sebuah negara 'RAHMAH'.

"Model terbaik negara yang boleh ditunjukkan dan ditauladani oleh dunia ialah model pengurusan haji Malaysia yang terbukti cemerlang dan diiktiraf sendiri oleh kerajaan Arab Saudi, selain kerajaan merancang dan akan memperkenalkan lain-lain model yang akan dicontohi oleh dunia kelak.

"Sebagai contoh, selain pengurusan haji, pengurusan zakat negara kita juga satu-satunya boleh dibanggakan dengan mempunyai model kutipan dan agihan yang bersistemetik dan dikanunkan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab dan urusan kerajaan," katanya.

-- BERNAMA