Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS) sentiasa diterapkan semangat patriotisme dan sayangkan tanah air demi perpaduan berbilang kaum walaupun berada beribu batu dari negara.

Koordinator WeMalaysia AS, Nasnoor Juzaili Mohd Nasiruddin berkata, ia cabaran besar yang mungkin membinasakan diri jika mana-mana pelajar kehilangan semangat jati diri dan cintakan negara.

"Dalam kita mengorak langkah ke hadapan, adalah wajar untuk kita melihat keadaan sekeliling di mana banyak negara yang dahulunya bebas merdeka, kini berhadapan dengan persengketaan dan peperangan kerana kerakusan sesetengah pihak yang tamakkan kuasa dan termakan hasutan pihak asing.

"Kita harus mengelak dari terjebak ke dalam kancah yang membinasakan diri, keluarga, dan negara seperti ini. Kejayaan yang dicapai oleh negara tidak datang dengan mudah.

"Kita seharusnya berbangga dan berterima kasih kepada generasi terdahulu yang telah banyak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk membawa Malaysia ke tahap ini. Dengan pengorbanan inilah kita mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini pada Selasa.

Tema 'Sehati Sejiwa' pada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia dijadikan tema sambutan pada tahun ini.

Dalam pada itu jelas Nasnoor, pelajar di AS juga sentiasa sedar akan tanggungjawab untuk mempertahankan kemerdekaan.

"Dewasa ini, terlalu banyak anasir-anasir yang cuba memporak-perandakan keharmonian dan perpaduan negara dengan menyebarkan berita palsu dan fitnah tanpa bukti yang nyata dan kukuh.

"Seharusnya kita rakyat Malaysia perlu bijak membezakan antara permata dan kaca dengan menilai sesuatu berita berdasarkan fakta dan sumber yang sahih agar tidak terpedaya dengan cubaan pihak-pihak yang mempunyai agenda tersembunyi atau kepentingan peribadi," ujarnya.

Sementara itu, Koordinator WeMalaysia Australia, Muhammad Ali Halim menjelaskan, pelajar di luar negara sentiasa bersatu bagi menolak pandangan picisan yang membawa kepada keruntuhan negara.

"Kita akui terdapat pelbagai usaha sesetengah golongan yang tidak senang dengan kesepakatan rakyat dan susun atur yang telah lama diamalkan.

"Namun terbukti, negara kini dihormati dan mendapat pelbagai pujian luar. Piawaian tinggi ini tidak akan dapat dikecapi tanpa formula kesepakatan dan keamanan dalam negara.

"Melalui semangat Perlembagaan, kita sedar kepentingan menjaga hubungan kerukunan hidup bermasyarakat dan dipelihara daripada menyentuh isu-isu yang sensitif," jelasnya.

Dalam pada itu, WeMalaysia turut menjemput rakyat negara ini untuk menzahirkan semangat patriotism melalui kempen gambar dan video WeMalaysia.

Ia boleh dilakukan dengan berkongsi gambar-gambar dan video patriotism di laman Facebook, Twitter dan Instagram @WeMalaysiaOrg dengan hashtag #WeMalaysia #UntukMalaysia dan #SayaAnakMalaysia.