Jabatan Perikanan Negeri Terengganu merancang membeli telur penyu jenis Belimbing dari luar negara untuk dieramkan.

Pengarahnya, Zawawi Ali memaklumkan, ia sebagai usaha memastikan spesies itu kembali mendarat di perairan Terengganu.

Pihaknya juga berhasrat untuk membawa masuk telur penyu dari Papua New Guinea kerana pantai di negara itu mencatatkan pendaratan Penyu Belimbing yang tinggi.

Beliau menegaskan pihaknya akan mengambil kira maklum balas daripada pasukan penyelidik berhubung cadangan tersebut memandangankan telur penyu sangat sensitif.

“Penyu Belimbing ini sudah tiada di Terengganu. Antara tujuh jenis yang ada, hanya satu sahaja yang akan mendarat.

“Apa yang patut kami buat akan dicadangkan oleh para saintis dan keputusannya akan dibincangankan semasa seminar khas yang akan diadakan Oktober depan,” katanya.

Berdasarkan rekod pendaratan Penyu Belimbing ke Terengganu, kali terakhir ia dikesan adalah pada 2017 dengan pendaratan sebelumnya pada 2010.