Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Terengganu kaji SOP peniaga pasar malam sesuai norma baharu

Terengganu kaji SOP peniaga pasar malam sesuai norma baharu
Alias berkata, jika projek perintis itu berhasil, ia akan diperluaskan ke daerah-daerah lain. - Astro AWANI
KUALA TERENGGANU : Kerajaan Negeri Terengganu sedang mengkaji prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan para peniaga pasar malam, pasar minggu dan pasar tani beroperasi seperti biasa.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr Alias Razak berkata, pihaknya telah meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) memperincikan perkara itu.
Ia termasuk mengenal pasti tapak yang sesuai bagi membolehkan pasar malam dan pasar tani menjalankan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, hasil kajian yang dilakukan itu dijangka diumumkan pada 9 Jun ini.
“Pasar malam dan pasar minggu, kita cuba untuk beberapa waktu ini, membuat satu norma baru pasar minggu.

"Pasar malam kita akan buka di satu tempat yang baru dan yang lebih besar, kita akan jarakkan lot-lot kedai dan hadkan bilangan peniaga dan juga jarak untuk pembeli nanti.

“Tidak lagi ada pasar malam atau pasar minggu yang ada pada hari ini, kedainya rapat-rapat dan susah untuk kita mengawal dari segi SOP ini. InsyaAllah kita sedang cuba. 

Sebahagian barangan peniaga Pasar Tani Hiliran, Kuala Terengganu, yang ditinggalkan kerana tidak dapat beroperasi seperti biasa sejak beberapa bulan lalu. - Astro AWANI

“Pihak majlis bandar raya khususnya, mengenal pasti beberapa tempat yang boleh kita jadikan sebagai pilot project atau projek contoh untuk kita benarkan pasar minggu atau pasar malam ini mengikut SOP yang kita tetapkan,” katanya.

Alias berkata demikian pada satu sidang media mengenai pembukaan premis perniagaan di Terengganu dalam tempoh PKPB di Wisma Darul Iman di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, jika projek perintis yang dilakukan itu berhasil, pihaknya akan memperluaskannya kepada daerah-daerah lain.

Keadaan di Pasar Tani Hiliran, Kuala Terengganu yang tidak dapat menjalankan operasi sejak PKP dikuatkuasakan Mac lalu. - Astro AWANI

Alias berkata, pihaknya turut meminta PBT mengadakan perbincangan bersama peniaga untuk melakukan sistem penggiliran atau sebagainya mengikut kesesuaian.

Sementara itu, Alias berkata kesemua restoran, kedai makan, warung dan hotel dibenarkan beroperasi bermula Ahad serta pelanggan boleh menikmati hidangan seperti biasa.

Bagaimanapun, Alias berkata kedai gunting rambut masih tidak dibenarkan meneruskan operasi setakat ini.