Mufti Kerajaan Negeri Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr MAZA masih lagi dilarang untuk mengadakan ceramah di negeri Terengganu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah yang dihubungi berkata, Kerajaan Negeri Terengganu bagaimanapun akan meneliti punca dan sebab yang dikenakan ke atas Dr MAZA daripada pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM).

Ia memandangkan larangan itu telah dikeluarkan oleh MAIDAM sejak 2016 iaitu sebelum Pas mengambil alih kerajaan negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Pihak kerajaan negeri mengambil maklum akan hal ini, namun keputusan itu sebenarnya telah dibuat oleh MAIDAM yang mempunyai jawatankuasanya sendiri. Dan keputusan larangan itu sememangnya berada di bawah kuasa Maidam.

"Kita tidak tahu punca sebenar yang menyebabkan larangan ke atas mufti Perlis itu dikenakan namun kerajaan negeri mengambil maklum akan hal ini dan akan cuba mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak MAIDAM," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Larangan tersebut sebenarnya telah dikeluarkan oleh Maidam pada 5 Julai 2016 dan kekal sehingga kini.

Astro AWANI sedang cuba mendapatkan maklum balas daripada Dr MAZA.