Kerajaan Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan bekerjasama dalam usaha membanteras aktiviti maksiat serta memulihkan golongan 'mak nyah' atau pondan di negeri itu.

Exco Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib, berkata pihaknya akan mengenal pasti bilangan sebenar maknyah di Terengganu dan punca pembabitan mereka dalam kegiatan sumbang termasuk aktiviti pelacuran.

Menurut Ghazali, usaha dijalankan menjurus ke arah membimbing mereka termasuk menceburi bidang perniagaan menerusi Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.

"Kita nak kategorikan pondan ini. Pondan yang dibantu pondan, yang macam mana kalau pondan ni dia terpaksa jadi pondan, yang menjual buat kerja maksiat nak dapat duit. Kalau tiada peluang pekerjaan, kita ada Yayasan Usahawan, kita boleh beri bantuan kepada dia nak jual pisang goreng ke, nak jual burger ke, kita boleh bincang kalau kita dapat kenal pasti 30 orang. Kita akan bincang, MAIDAM (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu) boleh bantu banyak mana," katanya.

BACA: Flat bertukar jadi 'lubuk pondan', operasi penguat kuasa bagaikan tidak berkesan

Tambah Ghazali, golongan terbabit tidak seharusnya dicemuh sebaliknya diberi ruang untuk berubah menjadi lelaki normal dengan menjalani sesi pemulihan dan kaunseling bagi mengatasi masalah kecelaruan jantina.


Menurutnya, kehadiran golongan maknyah atau pondan dari luar untuk memenuhi permintaan lelaki songsang tempatan serta kegiatan lesbian juga adalah perkara yang perlu diberi perhatian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Haflu Al-Takrim Al-Sanawi Kolej Al-Quran di Taman Tamadun Islam di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, seramai 290 orang graduan dianugerahkan sijil diploma dan sijil dalam bidang Pengajian Islam dan Al-Quran.