Seorang lelaki bagaikan 'haruan makan anak' apabila tergamak merogol darah daging sendiri di rumah mereka di sebuah kampung di sini sehingga anaknya berusia 16 tahun itu disahkan mengandung tujuh minggu semalam.

Lebih menyedihkan, lelaki berusia 50-an berkenaan menjadikan anak keempat daripada lima beradik itu sebagai tempat memuaskan nafsu sejak mangsa berusia 12 tahun lagi iaitu selepas setahun isterinya meninggal dunia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos berkata, perbuatan terkutuk suspek itu terbongkar selepas mangsa menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini kira-kira jam 9.30 malam.

"Mangsa ditemani ibu saudaranya datang ke Bahagian Trauma dan Kecemasan HSNZ kerana mengadu muntah dan sakit di bahagian perut.

"Mangsa beritahu doktor bertugas dia dirogol bapa kandungnya dua bulan lepas di rumah mereka sebelum laporan polis di buat untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut dijalankan," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurutnya, mangsa mendakwa dirogol kali pertama pada usia 12 tahun dan kejadian itu kerap kali berlaku selepas ibu kandungnya meninggal dunia ketika dia berusia 11 tahun.

"Kini mangsa tinggal bersama suspek dan ibu tirinya serta adik-beradik yang lain. Mangsa mendakwa sudah berhenti sekolah sejak April lalu kerana faktor kewangan suspek yang tidak bekerja.

"Dia turut mendakwa tidak menceritakan dan memberitahu kepada ahli keluarga lain tentang perbuatan suspek kerana sentiasa diugut ayahnya itu," katanya.

Razmi berkata, suspek diburu selepas dipercayai melarikan diri sejurus mengetahui perbuatannya terbongkar dan itu akan disiasat di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.