NATIONAL
Teriakan suara keluarga Nora Anne bakal berkumandang, bantu jejaki remaja Ireland hilang

Pada SAR hari kelima ini, seramai 242 pegawai dan anggota terlibat digerakkan ke lokasi pencarian. - Gambar fail
Polis akan memainkan rakaman suara keluarga Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lalu ketika menginap di sebuah resort di Nilai, Negeri Sembilan, sebagai usaha mengesan kedudukan dan membawa remaja itu keluar dari hutan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar, berkata setiap anggota terbabit operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu juga akan menjerit nama mangsa ketika berusaha mengesan remaja berkenaan.
Beliau berkata, cadangan itu adalah atas arahan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Mansor.
Ujarnya, memandangkan hari ini memasuki hari kelima, mangsa mungkin berada dalam keadaan keletihan dan pihak polis percaya dengan cara berkenaan, mangsa dapat dikejutkan.
“Sama ada yang lebih rapat dengan emak dengan ayah ataupun dengan adik. Kita guna strategi ini,” katanya selepas sesi taklimat berhampiran lokasi kejadian, pada Khamis.
Mengulas lanjut ujarnya, pada SAR hari kelima ini, seramai 242 pegawai dan anggota terlibat digerakkan ke lokasi pencarian.
Dalam pada itu, polis turut mengalu-alukan maklumat, cadangan termasuk usaha alternatif mengikut kepercayaan agama masing-masing termasuk mengadakan solat hajat.
Katanya, ia supaya tindakan segera dapat diambil.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami