Penjawat awam Persekutuan di Sarawak sambut baik pengumuman bantuan kewangan sebanyak RM500 oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bayaran tersebut bagaimanapun akan dibayar pada Jun tahun depan melibatkan 95,000 penjawat awam di negeri itu yang bekerja dalam pelbagai sektor termasuk di bandar dan luar bandar.

Menurut Setiausaha Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Sarawak, Patra Ramli, dia merasa bertuah dan bersyukur atas pengumuman tersebut dan menyifatkan bantuan tersebut amat berharga buat semua penjawat awam yang berkhidmat di negeri Bumi Kenyalang.

Pendapat sama disuarakan Presiden Kesatuan Kakitangan Jabatan Perikanan Sarawak, John Anak Bedong yang menyifatkan bayaran yang akan dibuat pada bulan Jun bertepatan dan memenuhi hasrat penjawat awam persekutuan di sana.

“Walaupun akan dibayar bulan Jun akan datang kita mengucapkan banyak terima kasih perbelanjaan tersebut dapat digunakan untuk merayakan Hari Gawai dan Hari Raya yang akan datang,” ujarnya.

Bagi Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak, Kolonel Mokhtar Samad, walau RM500 tidak sebesar bonus yang diterima penjawat awam kerajaan negeri namun ini tetap menunjukkan kerajaan negeri mengiktiraf jasa kakitangan kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.

Manakala bagi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Khiruddin Drahman, menyatakan bahawa dia terkejut dan terharu dengan pengumuman tersebut dan pemberian ini dilihat sebagai motivasi kepada warga JBPM untuk terus jalankan tugas dengan penuh dedikasi di masa hadapan.

“Kepada anggota bomba di negeri Sarawak, kita telah menjalankan tugas dengan begitu baik dan cemerlang dan penghargaan ini merupakan motivasi kepada warga kerja kita dan sesuai dengan perkhidmatan kita melebihi aspirasi masyarakat,” kata Khiruddin.

Berita gembira itu diumumkan Ketua Menteri pada Sambutan Hari Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak 2019 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Kuching pada Rabu.