Tutup

"Terima kasih, Shahrir" - Anak

"Terima kasih, Shahrir" - Anak
Mazlan berkata, bagi meringankan beban itu, pihaknya (Anak) bersedia memberikan khidmat nasihat dan membantu kelancaran proses baik pulih lembaga berkenaan, namun tidak mendapat peluang sepatutnya. - Gambar fail
KEPIMPINAN Tan Sri Shahrir Abdul Samad ketika mengendalikan Felda diakui adalah yang terbaik, namun ia masih tidak boleh membersihkan semua kerosakan yang ditinggalkan pemimpin sebelumnya.

Namun begitu, usaha berkenaan wajar dipuji selain diucapkan ribuan terima kasih atas jasa dan pengorbanan beliau sepanjang mentadbir lembaga korporat tersebut walapun dalam tempoh masa yang pendek.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, Shahrir berdepan dengan pelbagai beban ketika mengambil jawatan tersebut apatah lagi dirinya yang berstatus 'orang luar' daripada kelompok peneroka dan warga Felda.

"Tan Sri Shahrir adalah antara pemimpin UMNO yang mempunyai wibawa tersendiri tetapi saya mempunyai pandangan berbeza sewaktu beliau dilantik menjadi Pengerusi Felda pada 6 Jan 2017 lalu.

"Ia kerana tugas amat berat mengambil alih Felda yang berada dalam krisis yang buruk. Selaku ' orang luar ' beliau tentu terbeban untuk memulihkan kepercayaan masyarakat Felda, tambahan dengan berbagai isu yang berlaku.

"Jika kita tidak mempunyai ' roh' atau sentuhan dalam menjiwai kehidupan para peneroka, sukar untuk kita menyelesaikan episod duka yang dihadapi mereka puluhan tahun," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Mazlan berkata, bagi meringankan beban itu, pihaknya (Anak) bersedia memberikan khidmat nasihat dan membantu kelancaran proses baik pulih lembaga berkenaan, namun tidak mendapat peluang sepatutnya.

"Saya simpati dengannya dan ingin membantunya, juga mahu bertemunya, namun tiada respon sampai dia meletakkan jawatan semalam.

"Shahrir memikul 'biawak hidup ' tinggalan pengerusi Felda sebelumnya. Meskipun beliau mencuba sedaya mungkin melakukan baik pulih, kerosakan itu terlalu besar jadi tidak banyak yang mampu dilakukan," kata Mazlan.

Apapun Anak hargai sumbangan dicurahkannya walaupun singkat. Semestinya warga Felda juga tetap mengingatinya," katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Felda berkuat kuasa semalam.

Katanya, surat peletakan jawatan itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Memandangkan saya dilantik sebagai Pengerusi Felda oleh kerajaan sebelum ini, adalah wajar untuk saya melepaskan jawatan di dalam institusi yang diterajui kerajaan baharu.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga Felda atas sokongan dan kerjasama sepanjang perkhidmatan saya sebagai pengerusi dalam usaha membawa Felda balik ke asal,” katanya.