Polis sedang memburu dua lelaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah di Petaling Jaya, Selangor, pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, kejadian berlaku pada pukul 2.20 petang apabila mangsa berusia 60 tahun pulang ke rumah selepas keluar dari kediamannya 50 minit sebelum itu.

"Mangsa mendapati pintu rumahnya terbuka dan terdapat sebuah kereta jenis Mazda berwarna perak dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu parkir di hadapan rumahnya.

"Mangsa bertindak menghalang kenderaan suspek menyebabkan suspek bertindak agresif melanggar kereta mangsa sehingga mengalami kerosakan sebelum meloloskan diri," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.



Mengulas lanjut, Mohd Zani berkata berdasarkan keterangan awal, mangsa mendakwa terdapat dua orang suspek yang memakai topeng muka, topi dan sarung tangan.

"Mangsa mengalami kerugian kehilangan RM4,000, 2,000 Baht, beberapa botol arak, sebuah komputer riba, sebuah telefon pintar, sebuah kamera, beg galas dan sebentuk cincin emas.

"Rumah mangsa tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTC) namun polis akan menggunakan CCTV di kawasan sekitar untuk mengesan suspek dan kenderaan dinaiki suspek sah menggunakan nombor pendaftaran palsu selepas semakan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," jelasnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.