Seorang anggota polis berpangkat konstabel maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan awal pagi ini.

Kejadian berlaku di Kilometer 28.5, Jalan Padang Besar – Bukit Keteri, pada 12.20 pagi.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Shahrul Izhar Ishak, 30 tahun, yang cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ketua Polis Padang Besar Supt Muhamad Halim Yatim, hasil siasatan awal mendapati, kemalangan melibatkan satu kenderaan sahaja, iaitu motosikal jenis Honda EX5.

"Mangsa baru sahaja tamat tugas di KM 24 Aksem Chuping dan hendak pulang ke rumahnya di Beseri.

"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai telah melanggar seekor lembu lalu terjatuh di atas jalan," katanya.

Berikutan itu, mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.