Jika sebelum ini penduduk kampung di kawasan pedalaman Terengganu biasanya mencari rezeki dengan melakukan kerja-kerja kampung seperti menoreh getah dan sebagainya, akhir-akhir ini keadaan itu sedikit berbeza.

Sebahagian mereka yang ditemui Astro AWANI di sini, kini mula beralih kepada penternakan kelulut yang menghasilkan madu sebagai sumber pendapatan baharu dan sampingan yang menguntungkan.

Ini kerana, ia dikatakan lebih mudah, kurang berisiko, melibatkan kos yang murah, serta harga dan permintaan pasarannya tinggi.

Ini diakui sendiri oleh Ibrahim Mustapha, 46 tahun, dari Kampung Banggol Nyior, yang kini mula beralih arah daripada hanya menjadi penoreh getah kepada menjadi pengusaha ternakan madu kelulut.

Menurutnya, dia dan rakannya Misbah Imran Mohamad, 40 tahun, yang juga pemilik kebun di tapak peliharaan kelulutnya, telah memulakan usaha itu sejak 2012 lagi.

“Kalau diikutkan sebelum ini memanglah kami hanya buat kerja kampung saja, menoreh getah atau mengusaha kebun.

"Namun apabila dipelawa Misbah untuk turut mengusahakan ternakan kelulut, ia nyata mengubah kehidupan sebelum ini,” kata Ibrahim.

Jika sebelum ini pendapatannya hanya sekitar RM500 sebulan hasil upah menoreh getah, kini ia mencecah hampir RM2,000 hasil penjualan madu kelulut.

Ia ditambah dengan permintaan di pasaran yang tinggi serta harga jualan yang mencecah RM200 sekilogram.

“Kehidupan saya sekeluarga memang berubah selepas mengusahakan madu kelulut. Rezeki, Alhamdulillah, semakin baik,” tambahnya.

Menurut Misbah pula, minat itu timbul apabila Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan Pusat Sains Dan Kreativiti Terengganu mengadakan seminar mengenai madu kelulut sekitar tahun 2012.

Hanya bermula dengan satu sarang, kini beliau dan Ibrahim boleh berbangga apabila memiliki lebih 30 sarang kelulut yang saban hari mengeluarkan hasil untuk dijual.

“Madu kelulut yang kami hasilkan ini akan dibekalkan kepada Koperasi Pemungut Madu Lebah Asli Terengganu. Lebih membanggakan ia disokong oleh kerajaan negeri," kata Misbah.

Ibrahim dan Misbah memasang cita-cita untuk memperluaskan lagi pasaran madu kelulut serta menambah hasil pengeluaran sedia ada pada masa hadapan.