Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan empat akaun bernilai RM3.6 juta dan menyita kenderaan mewah bernilai RM1.3 juta milik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.

Ahli perniagaan berkenaan kini direman enam hari bagi membantu siasatan kes menerima wang berjumlah RM19 juta bagi menutup siasatan projek mega terowong dasar laut yang bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.

Empat kenderaan mewah yang disita ialah Toyota Vellfire, Mercedes Benz, Land Rover dan Hyundai Starex yang dianggarkan bernilai kira-kira RM1.3 juta serta tiga buah televisyen bernilai RM167,900.

Difahamkan, turut disita ialah sebuah rumah bernilai kira-kira RM2.5 juta yang terletak di Petaling Jaya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Jabatan Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani, ketika dihubungi mengesahkan penyitaan itu dan berkata pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

Difahamkan, suspek menerima wang berkenaan daripada syarikat pembinaan utama projek terbabit selepas dikatakan mampu menyelesaikan siasatan dijalankan SPRM.

Sumber berkata, pihak syarikat berkenaan membayar wang berjumlah RM19 juta itu secara berperingkat sekitar Julai dan Ogos tahun lalu.

Projek mega terowong itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos kajian kebolehlaksanaan terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran menggunakan tanah kerajaan negeri serta pelaksanaan dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.