Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Terowong Pulau Pinang: 'Datuk Seri' didakwa tipu RM19 juta

Terowong Pulau Pinang: 'Datuk Seri' didakwa tipu RM19 juta
Gnanaraja (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas. --fotoBERNAMA
SHAH ALAM: Seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk Seri' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut Pulau Pinang, dua tahun lepas.

M. G. Gnanaraja, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Dia didakwa memperdayakan pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd  untuk mempercayai bahawa dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong pengarah urusan tersebut menyerahkan kepadanya wang tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat Visione Construction Sdn Bhd ke akaun CIMB Bank milik Syarikat Bumi Muhibbah Capital Holding Sdn Bhd.
Gnanaraja didakwa melakukan kesemua kesalahan di sebuah hotel di Damansara dan sebuah bank di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada Julai dan Ogos 2017, dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Consortium Zenith Construction merupakan kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Datuk Umar Saifuddin Jaafar yang mengendalikan pendakwaan menawarkan Gnanaraja diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh tidak membantah tawaran jaminan itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM100,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Hakim turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Menurut sumber SPRM sebelum ini, tertuduh ditahan pada Februari tahun lepas selepas didakwa menerima wang berjumlah RM19 juta daripada syarikat pembinaan projek terbabit setelah dikatakan mampu menyelesaikan siasatan yang dijalankan SPRM.

-- BERNAMA