Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP tidak berpuas hati dengan penjelasan diberikan Consortium Zenith Construction (CZC) Sdn Bhd berhubung dakwaan RM22 juta dibayar kepada seorang ahli perniagaan dan seorang anggota Parlimen berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata kerajaan negeri telah menerima jawapan daripada Zenith bagi memberi penjelasan berhubung perkara itu pada minggu lepas tetapi beliau tidak puas hati dengan jawapan itu.

"Mereka telah memberi jawapan kepada kami tetapi kami tidak berpuas hati dengan jawapan itu, jadi kami telah menulis kepada mereka meminta penjelasan lebih terperinci," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Lim enggan menjelaskan butiran lanjut atau isi kandungan jawapan dihantar Zenith kepada kerajaan negeri.

Dilaporkan pada bulan lepas Zenith didakwa mengeluarkan surat tuntutan terhadap ahli perniagaan dan anggota Parlimen itu selepas mereka gagal melaksanakan tugas mereka untuk memberikan khidmat konsultasi seperti dipersetujui mereka pada Julai 2017.

Projek terowong sepanjang 7.2km itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga lebuh raya diberikan kepada CZC.

Sementara itu, Lim berkata semua anggota Exco kerajaan negeri dan wakil rakyat Pakatan Harapan termasuk dirinya akan mengisytiharkan aset mereka pada 31 Mac.

-- BERNAMA