Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa rakyat Malaysia untuk terus berusaha dan tidak menyerah kepada takdir dalam usaha memajukan diri mereka.

Mengambil contoh kenaikan harga sawit yang mencapai tahap tertinggi sejak sekian lama, Dr Mahathir berkata persediaan harus dilakukan sekiranya harga komoditi itu kembali menyusut.

"Sebagai contoh pada ketika ini harga sawit mencapai tahap paling tinggi sejak sekian lama. Kerajaan gembira dan bersyukur kerana rakyat yang mendapat untung dari kenaikan ini. Tetapi di masa yang sama Kerajaan perlu mengingat rakyat yang menikmati keuntungan tersebut supaya berjimat dan menyimpan untuk hari-hari mendatang jika dan ketika harga sawit tidak sebegitu tinggi lagi.

"Di samping itu, Kerajaan, menerusi agensi-agensinya akan terus memperkenalkan dasar-dasar untuk memastikan rakyat dapat memaksimakan hasil dari industri tersebut selain mencebur ke dalam industri lain.

"Secara ringkas, kita perlu terus berusaha dan tidak bergantung kepada takdir untuk memaju diri kita," katanya dalam perutusan sempena sambutan Tahun Baharu 2020.

Jelasnya, menerusi penganjuran program antarabangsa seperti Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit), ia bakal memacu ekonomi dan kemajuan negara-negara Islam.

"Selain untuk memaju dan membuat negara Islam tidak lagi bergantung kepada negara bukan Islam yang termasuk negara yang memusuhi Islam, Kerajaan juga melihat KL Summit itu sebagai peluang untuk meneroka bidang-bidang baru yang kritikal dan perlu bukan sahaja kepada umat Islam tetapi juga rakyat Malaysia yang menganut agama lain," katanya.