Keputusan meneruskan semula Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) memberi kesan positif hubungan negara dengan China.

Penganalisis ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai menjelaskan, ia juga menjadi projek tulang belakang kepada pembangunan di Pantai Timur.

"Satu aspek yang perlu ditonjolkan, projek ECRL ialah projek yang berjangka panjang, maksudnya ia memakan masa untuk siap dan kemudian setelah siap, ia akan memakan masa juga untuk membangun mendapatkan pasaran dan sambutan daripada orang ramai.

"Jadi kita perlu memastikan jumlah kos yang baru RM44 bilion ini boleh ditampung oleh dapatan daripada projek ini dalam bentuk kenaikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Kalau ia disalah urus di masa akan datang, ia boleh mendatangkan risiko seperti yang berlaku di Sri Lanka misalnya, apabila pelabuhannya terpaksa dijual kepada China kerana mereka tidak dapat lagi menampung bayaran ansuran, jadi aspek pembiayaan juga perlu dimasukkan di dalam pakej ini selain kadar faedah dalam memastikan pembiayaan itu cukup rendah untuk menampung tempoh pembangunan projek ini yang dilihat sebagai projek jangka panjang," katanya.

Beliau berkata semikian semasa dihubungi di sini, pada Jumaat.

BACA: Laluan ECRL dikurangkan 40km - Tun Daim

BACA:
ECRL buka peluang ekonomi di Pantai Timur - Penganalisis

Dr Barjoyai berkata demikian ketika mengulas keputusan Kerajaan yang meneruskan Projek ECRL dengan pengurangan sebanyak RM21.5 bilion dari kos pembinaan untuk fasa 1 dan 2.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, kos itu dikurangkan kepada RM44 bilion dari kos asalnya berjumlah RM65.5 bilion.

Dalam pada itu katanya, projek berkenaan akan membawa tambahan limpahan ekonomi kepada Negeri Sembilan selain negeri-negeri Pantai Timur.

Ia sekali gus memberi bayangan projek ECRL bakal menjadi pemangkin pembangunan yang cepat kepada negeri berkenaan dan seluruh negara untuk jangka pertengahan dan panjang.