Sempena dengan kedatangan bulan Syawal yang mulia ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan rakyat Malaysia agar meneruskan amalan normal baharu ataupun ‘the new normal’ dalam kehidupan seharian.

Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan menerusi saluran televisyen tempatan, Seri Paduka juga bertitah mengajak rakyat Malaysia agar teruskan menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial, hindari dan jauhi aktiviti yang tidak penting.

“Pandemik COVID-19 ini telah memaksa kita untuk melakukan perubahan kepada kehidupan seharian kita.

“Justeru, teruskan menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial, hindari dan jauhi aktiviti yang tidak penting.

Pada masa sama, baginda menitahkan agar rakyat memanfaatkan masa yang ada, untuk kita membina syurga di rumah bersama keluarga tercinta.

“Beta berkeyakinan, berkat semangat dan kekuatan jati diri bangsa Malaysia serta perpaduan yang utuh, Malaysia akan dapat menumpaskan wabak COVID-19 buat selama-lamanya.

Dalam titah perutusan itu, Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong turut mengambil kesempatan dengan mendoakan agar rakyat malaysia dan negara sentiasa berada di bawah perlindungan Allah SWT serta dijauhi dari sebarang musibah dan bencana.

“Beta dan Raja Permaisuri Agong juga berdoa semoga negara kita akan segera kembali pulih seperti sedia kala agar rakyat akan dapat mengecap nikmat kerancakan ekonomi dan menikmati kemanisan hidup dalam sebuah negara yang maju aman dan Makmur,” titah baginda.