Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar kerana dipercayai membunuh seorang lelaki warganegara asing di Bagan Parit 4, Sungai Sumun, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihak polis menerima panggilan pada jam 11.45 pagi mengatakan berlaku pergaduhan di lokasi terbabit.

Katanya, suspek dipercayai menetak mangsa dengan sebilah parang sebelum menolak mangsa ke dalam sungai.

"Kedua-duanya dipercayai bekerja sebagai nelayan, mangsa dipercayai warganegara asing dan identitinya belum dikenal pasti, tangkapan telah dibuat ke atas seorang lelaki warga Myanmar berumur dalam lingkungan 40-an.

"Tempat kejadian di kawasan Bagan, Sungai Sumun, kawasan di sekeliling tempat kejadian merupakan kawasan pelantar ikan. Tompokan darah, cebisan daging serta tulang ditemui di tempat kejadian.

"Pergaduhan berlaku dipercayai lebih kurang pukul 11.20 pagi, suspek sedang memegang sebilah parang dan menyerang mangsa. Parang yang digunakan untuk menetak mangsa masih belum ditemui," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang membantu untuk kerja-kerja pencarian mangsa.

Ujarnya, suspek akan direman esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.