Pengurusan Tabung Haji (TH) disaran menyaman mereka yang terlibat dalam isu membabitkan pembayaran dividen haram berbanding membuat kenyataan yang boleh mencetuskan panik masyarakat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, situasi kini hanya bakal mencetuskan kebimbangan dengan reaksi pasaran dan pendeposit yang boleh mengeluarkan wang mereka pada bila-bila masa.

Jelasnya, ia juga menimbulkan ketakutan pendeposit lantaran kurang yakin bahawa TH akan memberikan dividen sebagaimana amalan sebelum ini.

"Saya begitu teruja untuk mengetahui apakah bentuk penyelewengan dalam TH yang bakal didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof setelah disensasikan beritanya dua hari lalu di media massa.

"Rupa-rupanya penyelewengan yang didedahkan bukanlah mengenai rompakan, rasuah mahupun penyelewengan wang pendeposit TH. Sebaliknya hanyalah berkaitan dengan dakwaan Mujahid bahawa TH telah membayar dividen (hibah) kepada pendeposit secara haram selama empat tahun berturut-turut semenjak 2014 sehingga 2017.

"Sepanjang memegang portfolio Timbalan Menteri di JPM, saya tidak pernah pula mendengar apa-apa laporan daripada Audit Negara mahupun Audit Luar berkenaan dengan isu pemberian dividen sepanjang 4 tahun terdahulu. Apatah lagi kuasa Menteri di JPM hanya boleh mengumumkan pemberian dividen setelah disahkan Audit Negara.," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Terdahulu, Mujahid berkata, TH melanggar dua syarat pembayaran dividen sejak 2014.

Mujahid menjelaskan, terdapat dua syarat tersebut merupakan sebelum pembayaran hibah dibuat, aset tidak boleh kurang daripada liabiliti dan perlu terdapat keuntungan yang boleh diagihkan.

Mujahid berkata, pengurusan TH terdahulu telah melakukan tindakan salah kerana membayar dividen secara haram berjumlah RM12.652 bilion sehingga TH kekurangan RM4.1 bilion pada akhir 2017.

Dalam pada itu tegas Asyraf, jika perkara itu berlaku, TH akan berhadapan dengan krisis besar atau istilah kewangannya ‘bank-run’ yang mampu melumpuhkan sebuah institusi Islam yang besar sumbangannya kepada umat.

Sedangkan tambahnya, TH tidak pernah dilaporkan mengalami kerugian bahkan setiap wang pendeposit dijamin oleh kerajaan sebagaimana peruntukan Akta Tabung Haji 1995.

"Jika ada perbezaan pandangan mengenai dasar perakaunan dalam penilaian aset TH di antara pengurusan baru dengan pengurusan lama, perkara ini tidak wajar disensasikan secara umum sehingga tercetus pelbagai persepsi awam mengenai kedudukan kewangan TH yang tidak tepat dan boleh memudaratkan.

"Jangan pula isu ini menjadi alasan menutup kelemahan Kerajaan PH yang selama ini masih gagal menstabilkan pasaran saham dan modal negara sehingga TH tidak mampu lagi memberikan dividen yang setara atau lebih baik kepada pendeposit berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Lebih membimbangkan jika ini sebagai alasan untuk menjual aset-aset strategik TH dan memberi manfaat kepada pihak-pihak tertentu berkepentingan," ujarnya.

Asyraf juga menegaskan masih kekal berpendirian tegas tanpa kompromi, sekiranya terdapat sebarang salah laku, rasuah mahupun penyelewengan wang pendeposit TH, siasatan dan pendakwaan harus segera dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab, bukannya berterusan diadili di media massa.