Lembaga Tabung Haji (TH) akan meneliti secara mendalam cadangan yang diutarakan kepada pihaknya dalam mengendalikan hal-hal berkaitan pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan umrah bagi jemaah Malaysia.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah berkata, TH mengambil positif saranan yang dibuat oleh semua pihak untuk menangani kes penipuan pakej umrah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kajian yang lebih mendalam perlu dibuat dari pelbagai aspek kerana pengurusan umrah berbeza daripada haji dan ia berjalan hampir sepanjang tahun.

"Hasil daripada kajian ini perlu diperhalusi dengan teliti sebelum sebarang keputusan atau perubahan akta dicadangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Johan berkata, TH juga perlu melihat dari sudut manfaat serta kesan yang bakal memberi impak kepada pendeposit TH yang pengurusan umrah melibatkan struktur kos yang berbeza.

BACA: Tidak bijak tukar pengurusan pakej umrah di bawah TH - MATTA

BACA: Cukuplah TH monopoli haji, tidak perlu campur urusan umrah - PAPUH

TONTON: TH sedia jadi orang tengah tangani penipuan umrah

Menurutnya, TH juga perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan semua pihak berkuasa dan berwajib supaya cadangan tersebut dapat dibentangkan secara menyeluruh demi kepentingan dan kebaikan semua pihak.

Sementara itu, TH menyarankan orang ramai yang ingin menunaikan umrah agar menggunakan perkhidmatan syarikat pelancongan yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU) yang dikuatkuasakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Oktober lalu.

-- BERNAMA