Tutup

Thailand minta bantuan PDRM tangkap raja dadah 'ice' dari Narathiwat

Thailand minta bantuan PDRM tangkap raja dadah 'ice' dari Narathiwat
Kitti berkata dadah 'ice' itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran sebelum diagihkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa yang lain. -Gambar hiasan
BANGKOK: Thailand meminta bantuan polis Malaysia bagi mengesan dan menangkap seorang ahli politik dari selatan Thailand yang dipercayai raja dadah yang bertanggungjawab dalam cubaan menyeludup 459 kilogram dadah 'ice' (crystal methamphetamine) pada 7 Julai lalu.

Ahli Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Narathiwat berumur 58 itu yang sedang diburu polis Thai dan masih bebas dipercayai merupakan dalang dalam membiayai kegiatan haram itu.
Ketua Polis Narkotik Wilayah Selatan Mej Gen Kitti Sapaothong berkata waran tangkap telah dikeluarkan untuk ahli politik itu pada 12 Julai selepas polis menahan empat lelaki di Bangkok dan Songkhla yang mendedahkan bahawa mereka dibayar untuk menghantar dadah berkenaan.

"Kami mempunyai bukti kukuh terhadapnya. Kami telah mencari di tujuh tempat di Narathiwat semalam tetapi gagal menemui suspek.
Bagaimanapun, kami akan menjejaki dan menahannya dan telah meminta bantuan polis Malaysia untuk menangkap suspek.

Pada 7 Julai, polis Thailand menahan dua lelaki berumur 33 dan 32 tahun di Bangkok bersama 459 kg 'ice' dalam trak pikap mereka.

Hari berikutnya polis menahan dua lelaki berumur 57 dan 51 tahun stesen minyak Songkhla, selatan Thailand . Kedua-dua suspek idari Waeng Narathiwat sedang menunggu untuk mengambil dadah daripada suspek pertama.

Adalah dipercayai dadah itu diseludup masuk ke Chiang Rai menerusi bandar Tachileik di sempadan Myanmar.

Kitti berkata dadah 'ice' itu dipercayai untuk diseludup ke negara jiran sebelum diagihkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa yang lain.

"Kami sedang mengesan jejak wang tersebut di bawah undang-undang anti pengubahan wang haram, dan jika sabit kesalahan melibatkan penyeludupan dadah, aset ahli politik itu boleh dibeku," katanya.

--BERNAMA