Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk menjadikan ketum sebagai ubat penahan sakit dan rawatan penagihan dadah.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata ini kerana ketum mempunyai kesan yang sama seperti morfin.

"Ketum dan morfin adalah sama, kesannya juga sama. Ia untuk energetik, tahan sakit boleh, nak bagi tidur boleh, banyak kegunaannya," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Program Back To School di Sekolah Menengah Kebangsaan Pondok Upeh Balik Pulau di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai hasil kajian dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang menemui ketum berpotensi untuk dijadikan sebagai penahan sakit dan rawatan penagihan dadah..

Pada Khamis lepas Profesor Pusat Pengajian Sains Farmasi USM, Profesor Dr Sharif Mahsufi Mansor mendedahkan ketum dilihat mempunyai potensi untuk penghasilan ubat baharu sebagai penahan sakit dan rawatan penagihan dadah.

Beliau dilaporkan berkata ketum berpotensi menggantikan methadone yang digunakan dalam mengubati masalah ketagihan dadah terutamanya selepas penagih itu berhenti mengambil dadah.

Bagaimanapun, menurut profesor berkenaan kajian berhubung potensi itu masih dijalankan dan tiada lagi kajian klinikal yang berjaya membuktikan perkara itu.

Mengulas lanjut, Dr Hilmi berkata apa yang menjadi permasalahan kini adalah ketum telah disalahguna oleh golongan muda hari ini dan pengambilan yang berlebihan boleh membuat sistem badan terjejas serta rosak.

"Bila ia telah disalahguna dan minum air ketum terlalu banyak, ia akan merosakkan badan, semua sistem akan rosak dan terjejas. Kalau kita lihat mereka yang kuat minum air ketum ini mukanya kuning, pucat sebab hati dia rosak," katanya.

Dr Hilmi berkata kerajaan juga bercadang menggubal Akta Racun 1951 yang diguna untuk menyelia aktiviti berkaitan ketum dengan menambah elemen dan menitikberatkan soal larangan penanaman tumbuhan ini secara komersil tahun hadapan.

"Ia sudah di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang," katanya.

-- BERNAMA