Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi memaklumkan tiada desakan dalam kalangan anggota majlis tertinggi atau sayap agar beliau bercuti dari jawatannya sebagai presiden.

Tegas Zahid, usul Ketua Pemuda Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki baru-baru ini hanya satu cadangan untuk dipertimbangkan, dan bukan satu permintaan dan desakan.

"Kita raikan pandangan itu, tetapi tiada seorang pun ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), termasuk Pemuda, yang minta saya bercuti," ujar beliau ringkas semasa sidang media selepas mesyuarat bulanan MKT UMNO, hari ini.

Kedudukan Zahid menjadi tanda tanya selepas beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 45 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi.