Kerajaan Pakistan menyifatkan tidak timbul isu diskriminasi berkaitan rawatan kesihatan atau pengendalian imigran oleh Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Amna Baloch berkata rakyatnya yang dijangkiti COVID-19 di negara ini menerima rawatan dan penjagaan kesihatan sama seperti rakyat Malaysia yang lain.

BACA: Patutkah Malaysia dikritik kerana menjaga warganya sendiri?

"Kita ada hampir 60 orang (rakyat Pakistan) yang dijangkiti COVID-19. Mereka dimasukkan ke hospital-hospital tertentu. Mereka diberi rawatan kesihatan yang sama diberikan kepada rakyat Malaysia.

"Malangnya, terdapat satu kematian, tetapi ia disebabkan faktor usia yang tua dan pelbagai masalah lain. Sepanjang pengalaman kami, ia begitu cemerlang," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.

BACA: COVID-19: Tindakan efektif Malaysia perlu jadi contoh - Kedutaan Indonesia

Amna mengakui menerima kerjasama yang baik daripada Kerajaan Malaysia dan agensi-agensinya terutama sewaktu berlaku pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan di Lembah Klang.

"Sewaktu PKPD melibatkan beberapa bangunan seperti Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Masion, Suruhanjaya Tinggi Pakistan dengan segera berhubung dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

"Kami menerima respon yang baik daripada Menteri (Wilayah Persekutuan), Tan Sri Annuar Musa dan timbalannya, Datuk Seri Dr Edmund Santhara Kumar dan kami telah secara sukarela menyertai pasukan petugas khas yang ditubuhkan.

BACA: Rakyat Bangladesh puas hati layanan kerajaan Malaysia di pusat kuarantin

"Salah seorang pegawai kami terus berhubung dengan pasukan tersebut dan kami juga membantu pasukan tersebut dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat dan ia berjaya disempurnakan," katanya.

Justeru, beliau berkata, adalah penting pada ketika ini untuk semua pihak memfokuskan kepada perkara positif yang dilakukan Malaysia dalam membantu semua warganegara dalam mendepani pandemik COVID-19 ini.