Tiada gangguan bekalan elektrik dilaporkan di Johor susulan banjir yang kini menjejaskan sembilan daerah setakat ini.

Ketua Perkhidmatan Pelanggan, Bahagian Retail Tenaga Nasional Bhd Johor Datuk Baderul Sham Saad berkata hanya sebuah kawasan iaitu perkampungan orang asli di Kampung Labung Endau, dekat Mersing, yang dipotong bekalan elektrik, akibat banjir.

"Kita terpaksa memotong bekalan elektrik di situ sejak tengah hari tadi berikutan rumah di kawasan itu ditenggelami air.

"Jadi, kita potong bekalan atas faktor keselamatan yang melibatkan kira-kira 30 pengguna. Penduduk kampung berkenaan juga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara," kata beliau ketika dihubungi Bernama, di sini, petang Ahad.

Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, TNB akan menutup bekalan elektrik di sesetengah kawasan jika paras air meningkat.

Baderul berkata untuk memantau aset TNB, pihaknya telahpun membuka bilik gerakan banjir bagi mengetahui status setiap aset di kawasan terjejas banjir.

TNB kini mempunyai sebanyak 102 pencawang utama, 93 pencawang pembahagian utama dan 13,770 pencawang elektrik di seluruh negeri Johor.

"Kita juga sentiasa memantau bekalan elektrik di semua PPS yang dibuka bagi memastikan bekalan sentiasa ada," kata beliau sambil menambah sebanyak 42 mobile genset dan 55 portable genset disediakan untuk kegunaan PPS sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.

Dalam masa yang sama, Baderul juga menasihati orang ramai supaya tidak mendekati sebarang pepasangan TNB demi keselamatan diri dan mengelakkan daripada renjatan elektrik.

Beliau berkata paras air yang meningkat secara tiba-tiba ketika musim hujan boleh mengundang risiko renjatan pada pepasangan elektrik.

Orang ramai juga dinasihati untuk tidak menyentuh sebarang alatan eletrik atau suis dengan tangan yang basah atau lembap.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi TNB Careline 15454 atau Facebook TNB Careline jika ternampak pepasangan TNB teralih atau tumbang.

-- BERNAMA