Tutup

Tiada geran percuma tetapi geran bersasar tetap ada - Mohd Redzuan

Tiada geran percuma tetapi geran bersasar tetap ada - Mohd Redzuan
Mohd Redzuan berkata eran padanan secara tersasar adalah lebih tersusun dan berupaya mengelak ketirisan dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan. - Gambar fail/BERNAMA
ALOR SETAR:
Kerajaan hanya akan menyalurkan geran kepada usahawan bumiputera yang komited terhadap perniagaan mereka dan bukannya memberi secara percuma sehingga banyak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
 
Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, geran padanan secara bersasar adalah lebih tersusun dan berupaya mengelak ‘ketirisan’ dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai negara keusahawanan.
 
"Kalau usahawan itu boleh bagi komitmen kepada kerajaan dan diri sendiri, kita akan bantu bagi geran tetapi duit percuma memang tiada. Kalau tengok rekod ada usahawan yang dapat duit tetapi 50 peratus guna untuk perniagaan, 50 peratus lagi buat benda lain.

"Jadi, itu sudah salah guna duit geran, sebab itu kerajaan mahu kurangkan. Kalau kerajaan sebelum ini, usahawan kenal orang sana, sini mereka ada peluang cerah mahu dapat duit percuma tetapi kerajaan dan kementerian sekarang lebih fokus," katanya ketika ditemui pada Program Ramah Mesra Bersama Usahawan Pekan Rabu, di Alor Setar, Kedah pada Ahad.
 
Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang dilaporkan menyaran kerajaan menutup Kementerian Pembangunan Usahawan susulan keputusannya untuk tidak lagi memberi geran percuma kepada usahawan bumiputera.
 
Mohd Redzuan berkata, beliau tiada masalah dengan perkara itu kerana banyak lagi kementerian lain yang boleh melaksanakan tanggungjawab tersebut.
"Fungsi utama kementerian juga adalah untuk melatih masyarakat yang ingin menjadi usahawan, kalau usahawan itu betul-betul berminat dan ada hala tuju, kita akan bantu dengan memberi geran untuk mengembangkan perusahaan mereka.

"Oleh itu, saya harap rakyat dapat mengubah pemikiran dan tidak lagi mengharapkan bantuan percuma semata-mata," katanya lagi.

SME Corporation Malaysia (SME Corp) katanya masih menyediakan geran padanan sehingga RM500,000 dan kerajaan juga memperuntukkan lebih RM5 bilion untuk geran penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Jumaat lalu, Mohd Redzuan menegaskan kerajaan tidak lagi memberi geran percuma kerana tidak mahu usahawan terlalu bergantung kepada bantuan itu, selain ada yang hanya mengharapkan bantuan kerajaan tapi tidak mempunyai ilmu dan daya ketahanan untuk menceburi perniagaan.


Tag: PERKASA, Bumiputera, Alor Setar, usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Pembangunan Usahawan, gran percuma, geran padanan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.