Tiada insiden ibu gajah 'naik minyak', hanya anak gajah maut dilanggar guru panik - Polis

Tiada insiden ibu gajah 'naik minyak', hanya anak gajah maut dilanggar guru panik - Polis
Disebabkan anak gajah terlalu rapat, guru terbabit tidak dapat mengelak dan membunuh salah seekor dari anak gajah. - Facebook - @MEME.project
IPOH: Seekor anak gajah maut selepas dirempuh oleh seorang guru wanita yang panik apabila terserempak dengan haiwan itu yang sedang melintas jalan di laluan Lebuhraya Timur-Barat Gerik-Jeli berhampiran Bainun di sini awal hari ini.

Ketua Polis Gerik Supt Ismail Che Isa yang mengesahkan kejadian berkata kemalangan berlaku sekitar 2.30 pagi apabila guru terbabit Aznida Alias, 49, sedang dalam perjalanan dari Tanah Merah, Kelantan menuju ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Arau, Perlis.
“Keadaan gelap gelita dan mangsa sedang memandu kereta Nissan Almera tidak menyangka sekumpulan anak gajah terbabit berada di tengah-tengah jalan.

“Disebabkan anak gajah terlalu rapat, guru terbabit tidak dapat mengelak dan membunuh salah seekor dari anak gajah,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun guru terbabit, suami dan tiga anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu Ismail menafikan dakwaan berlakunya insiden ibu gajah mengamuk susulan kejadian itu seperti yang diviralkan di media sosial.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan berita itu dan menimbulkan kebimbangan untuk pengguna melalui jalan itu.