Kementerian Kesihatan mendedahkan siasatan awal mendapati tiada sebarang kesan suntikan atau kecederaan pada tubuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam.

Selain itu, Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) juga masih belum menerima sebarang sampel DNA daripada waris mangsa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata walaupun belum menerima sebarang sampel DNA, namun ujian forensik menyeluruh telah dilakukan.

Tiada serangan jantung

"Mayat ini telah menjalani pemeriksaan bedah siasat yang lengkap termasuklah ujian Computer Tomography, bedah siasat luaran dan dalaman dan pemeriksaan forensik pergigian.

"Tiada sebarang kesan yang menunjukkan mangsa mati akibat serangan jantung," katanya pada sidang media di Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.

BACA: Wisma Putra arah Duta Malaysia pulang, panggil Duta Korea Utara beri penjelasan

BACA: Rakaman CCTV detik-detik akhir Kim Jong Nam disiar media antarabangsa

BACA: Empat suspek pembunuhan Kim Jong Nam telah meninggalkan negara ini - Polis



Tambahnya, menerusi bedah siasat tersebut, tiada sebarang kesan luka pada anggota badan mangsa.

Spesimen medikolegal telah diambil dan diserahkan ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

"Hingga masa kini, kami (IPFN) masih belum menerima laporan makmal daripada Jabatan Kimia dan kami masih lagi menantikan laporan tersebut.

"Jabatan Kimia akan melihat daripada pelbagai aspek termasuk sama ada kematian tersebut berpunca daripada racun atau tidak," katanya.

Tiada bedah siasat kedua

Jelasnya, analisa tersebut juga akan membantu mengesahkan identiti mangsa dan punca kematian.

Tambah Noor Hisham, tiada bedah siasat kedua dijalankan ke atas mayat mangsa.


Pemeriksaan bedah siasat terhadap mayat Kim Jong Nam telah dijalankan 12.45 petang, 15 Februari 2017 dan selesai pada 6.45 petang pada hari yang sama.

Jong Nam yang merupakan abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong Un, meninggal dunia pada 13 Feb lepas ketika dalam perjalanan ke hospital.

Jong Nam sebelum ini dilaporkan berada di KLIA2 sementara menunggu penerbangannya ke Macau apabila diserang dua wanita dengan mukanya ditekup dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun.