Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan berlaku kemasukan besar-besaran rakyat Malaysia dari Singapura.

Jelasnya, purata kemasukan rakyat Malaysia dari republik itu hanya kira-kira 400 orang sahaja setiap hari sejak empat hari lalu.

Katanya, bagaimanapun kerajaan sentiasa bersiap sedia dengan kemungkinan kemasukan besar-besaran.

"Ramai bimbang mengenai rakyat kita yang pulang dari Singapura. Daripada laporan Jabatan Imigresen Malaysia, kemasukan besar-besaran belum berlaku.

"Setakat empat hari ini, purata kemasukan rakyat kita dari Singapura hanya 400 orang sahaja. Sebagai contoh pada 18 April ada 648 orang; 17 April (246 orang); 18 April (245 orang); 19 April (604 orang) dan 20 April (297 orang)," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, individu yang kembali ke negara ini melalui pintu masuk di Johor diwajibkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin seperti diumumkan sebelum ini.

"Sehingga kini, kerajaan telah menyediakan 6,000 bilik untuk tujuan kuarantin wajib di 22 pusat kuarantin.
Penambahan 4,000 bilik lagi masih dalam proses, dengan jumlah keseluruhan 10,000 bilik akan disediakan," tambahnya.

Sementara itu, katanya, mesyuarat Kabinet juga telah mengambil keputusan untuk menghadkan operasi Jabatan Imigresen dan agensi-agensi berkaitan di pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (Laluan Kedua).

Masa operasi di Bangunan Sultan Iskandar dipendekkan dari 24 jam sebelum ini kepada 7 pagi hingga 7 malam bagi pergerakan keluar masuk rakyat Malaysia dan kenderaan komersial seperti lori dan kargo.

Manakala, bagi Kompleks Sultan Abu Bakar, operasi berjalan seperti biasa iaitu 24 jam.

"Ini supaya kes-kes kecemasan dan keperluan perubatan tidak terjejas," jelasnya lagi.

Katanya, perubahan waktu operasi berkuat kuasa pada 24 April.