Tutup

Tiada keperluan bawa keluar Harumanis ke luar negara - Azlan Man

Tiada keperluan bawa keluar Harumanis ke luar negara - Azlan Man
Peratus keletakatan buah yang rendah menyebabkan hasil pengeluaran Harumanis keluaran Jabatan Pertanian menurun berbanding 2018. - Gambar fail
KANGAR: Tiada keperluan buat masa ini untuk mengeksport buah mangga Harumanis ke luar negara berikutan pengeluaran buah yang terhad dan permintaan dalam negara yang tinggi, kata Menteri Besar Perlis, Azlan Man

"Berulang kali saya kata sebelum ini .. why we must export to the outside, since we can fetch a better price domesticly... it's a stupid thing to do," katanya di luar dewan selepas membentangkan Belanjawan Perlis 2020 di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini, pada Selasa.
Tahap kualiti yang diletakkan oleh negara luar begitu tinggi dan Perlis sebenarnya tidak perlu eksport mangga Harumanis ke luar.

"Mereka (negara luar) hendakkan buah jenis premium. Sekecil tahi lalat hitam pun (cacat cela) tidak boleh ada di buah.
"Seingat saya masa dulu (2013) harga yang Jepun tawarkan ialah pada RM18 berbanding pasaran tempatan pada harga RM30," katanya.

BACA: Tidak berbaloi jual harumanis ke luar negara, Perlis henti eksport

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Nurulhisham Yaakob berkata sebanyak 15.59815 tan metrik dengan nilai RM257,938.90 dikeluarkan pada tahun lepas.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Gan Ay Ling (PKR-Indera Kayangan) berapakah jumlah hasil buah harumanis keluaran Jabatan Pertanian pada 2019.

Nuruhisham (BN-Simpang Empat) berkata peratus keletakatan buah yang rendah menyebabkan hasil pengeluaran Harumanis keluaran Jabatan Pertanian menurun berbanding 2018 (tiada nilai dinyatakan).

Katanya faktor yang mempengaruhi penurunan hasil buah adalah berpunca daripada perbezaan antara suhu siang dan malam, kurangnya agen pendebungaan, serangan antraknos pada peringkat bunga dan cuaca yang buruk.

"Bagi mengatasi masalah kualiti buah Harumanis, Jabatan Pertanian telah mengambil beberapa langkah penyelesaian seperti mengelak menerima tempahan ketika musim kritikal atau cuti umum, memilih perkhidmatan kurier yang lebih pantas agar buah yang dihantar cepat sampai dan tidak rosak," katanya.

-- BERNAMA