Tiada keperluan untuk melepaskan jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, kata Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Malah Wan Azizah menegaskan, jawatan Timbalan Perdana Menteri yang disandangnya sekarang tidak perlu dijadikan isu kerana beliau akan melepaskan jawatan tersebut sebaik sahaja suaminya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Beliau turut menjelaskan, isu kedudukan beliau sebagai orang nombor dua dalam kerajaan sudah disepakati seperti mana Anwar mengambil alih jawatan presiden PKR sebelum ini.

"Saya ingat tidak berbangkit kerana kita dah berjanji bahawa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, saya Timbalan Perdana Menteri.

"Masa Datuk Seri Anwar ambil alih jawatan presiden parti (PKR) tidak ada perbedaan. Jadi, saya dah katakan bila Anwar jadi PM saya akan turunlah (lepas jawatan timbalan perdana menteri). Jadi tiada isu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Pertahanan Siber IACSP di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Bendahari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Mohd Shaid Rosli yang menggesa Wan Azizah melepas jawatannya untuk melaksanakan proses peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Mohd Shaid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram berkata, proses peralihan kuasa kepada Anwar akan berjalan lancar sekiranya Wan Azizah memberi laluan kepada suaminya menjawat jawatan timbalan perdana menteri sebelum dilantik sebagai perdana menteri.

Katanya, beberapa pihak dalam Pakatan Harapan (PH) perlu membuat gesaan agar Dr. Wan Azizah melepaskan jawatannya sekiranya beliau mahu Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Dalam pada itu Wan Azizah menegaskan, semua pihak perlu akur dengan keputusan perdana menteri berhubung perkara itu dan keputusan itu tidak perlu dijadikan isu lagi.

"Dah PM kata macam itu kita beri kepada PMlah," katanya.