Kerajaan sekali lagi menegaskan bahawa tiada keperluan untuk meningkatkan umur persaraan kepada 65 tahun.
Menteri Sumber Manusia (KSM), M. Kula Segaran berkata pelbagai perkara perlu diperhalusi dan diambil kira oleh Kerajaan sebelum umur persaraan ditingkatkan.
“Perubahan ini akan menjejaskan peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan belia dimana seperti diketahui ketika ini kadar pengangguran belia di Malaysia ialah 10.9 peratus.
“Selain itu, produktiviti juga mungkin terjejas kerana peringkat usia ini lazimnya turut dikaitkan dengan faktor kesihatan dan keupayaan fizikal seseorang pekerja.
“Faktor-faktor ini juga boleh menyumbang ke atas kualiti dan perbelanjaan pengurusan dalam sesebuah organisasi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Rusnah Aluai (PH-Tangga Batu) yang ingin tahu sama ada KSM akan menaikkan umur persaraan kepada 65 tahun pada masa akan datang yang mana langkah tersebut tidak optimum kepada kualiti dan perbelanjaan pengurusan.
Kula berkata, cadangan untuk meningkatkan had umur persaraan kepada 65 tahun merupakan cadangan daripada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
“Berdasarkan Akta Umur Persaraan Minimum 2012 (Akta 753) yang berkuatkuasa pada 1 Julai 2013 ke atas semua majikan sektor swasta di seluruh Malaysia, menyatakan bahawa umur persaraan minimum seseorang pekerja adalah apabila seseorang pekerja itu mencapai umur 60 tahun.
“Ini bermakna seseorang pekerja itu boleh terus bekerja walaupun telah melebihi 60 tahun dan ia juga bergantung kepada tawaran pekerjaan oleh majikan,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiada keperluan bagi had usia persaraan sedia ada dilanjutkan kepada 65 tahun kerana secara rasionalnya, sebahagian besar individu pada lingkungan usia itu tidak lagi mampu untuk bekerja secara cekap selain berdepan beberapa kekangan berkaitan, termasuk faktor kesihatan.